Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

181) PROGRAM PEMBANGUNAN BELIA

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan untuk memperkasa institusi belia di Negeri Selangor?

    Dalam usaha memperkasa institusi belia di negeri ini, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor (JBSN Selangor) sememangnya menjalinkan kerjasama yang erat bersama persatuan belia, NGO- NGO, agensi – agensi kerajaan serta swasta yang berkaitan. Sebagai makluman, Majlis Belia Selangor (MBS) adalah merupakan rakan strategik utama Jabatan ini. MBS adalah badan induk yang memayungi badan-badan gabungan institusi belia dan kelab-kelab belia tunggal di negeri Selangor. Pelbagai program atau aktiviti memperkasa institusi belia yang dilaksanakan adalah kolaborasi antara JBSN Selangor bersama MBS.

    Bagi tujuan memperkasakan golongan belia, JBSN Selangor juga ada melaksanakan program Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri dan Daerah. MPBN merupakan platform/ wadah bagi pemimpin belia berbincang mengenai isu/ usul dan dasar yang melibatkan pembangunan belia dari pelbagai peringkat.

    Bersekali dengan itu juga, pihak Jabatan ada melaksanakan majlis Penganugerahan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri yang melibatkan 3 kategori utama iaitu Anugerah Perdana Pertubuhan Belia, Tokoh Belia Wanita dan Tokoh Belia Lelaki.  Penganugerahan ini adalah salah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada golongan belia yang bergerak aktif dan menyumbang kepada aktiviti-aktiviti dalam persatuan untuk pembangunan belia.

    Di samping itu, JBSN Selangor juga ada menawarkan geran bantuan kewangan bagi membantu setiap persatuan belia dan NGO yang layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan bagi merancang dan melaksana program atau aktiviti –aktiviti pembangunan belia bagi belia setempat.

Lampiran

Tiada Lampiran.