Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

16) Program Pembangunan Belia

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah PeBT tahun 2020 dapat menghabiskan peruntukan yang diperolehi memandangkan banyak program telah dibatalkan pada tahun ini?

    Pandemik COVID-19 telah disahkan merebak di Malaysia pada 25 Januari 2020. Dengan kadar jangkitan virus ini yang meningkat dengan pantas, kerajaan Malaysia  telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020. PKP ini selanjutnya melalui fasa-fasa yang antaranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terkini ianya dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

    Pelaksanaan ini sekaligus telah memberi kesan kepada aktiviti-aktviti sosial termasuklah pelaksanaan program-program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di setiap kawasan PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya yang melibatkan penyertaan ramai belia. Untuk makluman, pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM120,000.00 kepada setiap PBT (12 PBT = RM 1,440,000) bagi kegunaan PeBT untuk menjalankan program di semua 288 zon PeBT. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 94 program telah dilaksanakan dengan jumlah peruntukan adalah sebanyak RM210,201.00.

    Memandangkan masih terdapat baki peruntukan, Kerajaan Negeri menggalakkan PeBT untuk terus melaksanakan aktiviti-aktiviti dan program-program belia berbentuk virtual sesuai dengan keadaan semasa norma baharu dan perkembangan IR4.0 yang menggunapakai platform digital.

    PeBT akan terus bergerak ke hadapan dengan memanfaat teknologi digital terkini seperti platform media sosial bagi menganjurkan program secara atas talian yang seiring dengan trend norma baharu pada masa ini, di samping penekanan kepada aktiviti-aktiviti berbentuk kesukarelawanan yang mematuhi ketetapan-ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP).

    Seterusnya, meskipun kita sedang mengharungi persekitaran norma baharu, Kerajaan Negeri tetap komited menggalakkan para belia untuk kekal aktif dalam aktiviti-aktiviti berfaedah melalui penglibatan mereka dalam program sukan berbentuk ‘virtual’ yang menjadi ‘Sukan Era Baharu’ pada masa ini.

    Program ‘Selangor Xtiv Virtual 2020’ adalah inisiatif yang menyediakan peluang kepada perkembangan bakat-bakat baharu dan merancakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Sejak dilancarkan pada Mei hingga ke hari ini, sebanyak 178,081 penyertaan telah direkodkan, sekaligus menunjukkan program ini terus mendapat sambutan dalam kalangan para belia di mana PeBT telah memainkan peranan penting dalam membuat hebahan ke akar umbi di setiap daerah.

    Program-program ‘Selangor Xtiv Virtual 2020’ yang dianjurkan adalah seperti berikut :-

    1. Selangor Xtiv Virtual E-Sports 2020 (SXVE20)
    2. Gelanggang Selangor Martial Arts Xtiv Virtual 2020 (SMAXV20)
    3. Selangor Xtiv Virtual Run 2020 (SXVR20)
    4. Selangor Fifa Pro Club League 2020
    5. Selangor Xtiv Video Challenge 2020
    6. Selangor Xtiv Virtual Youth Busking 2020

     

    Di samping program-program di atas, Kerajaan Negeri juga telah menjalankan Program Ceria Atlet Selangor 2020 yang merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri yang peduli rakyat dan menjaga kebajikan atlet-atlet mahupun bekas-bekas atlet serta atlet para Negeri Selangor yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan. Program ini berbentuk sesi ziarah dan gotong-royong termasuklah aktiviti membaiki kerosakan rumah, mengecat dan pembersihan sekitar kawasan rumah. Penganjuran program ini mampu memberikan keceriaan kepada para peserta, sekaligus sebagai satu penghargaan kepada mereka yang pernah mengharumkan nama negara, khususnya Negeri Selangor.

    Melalui program yang berbentuk kesukarelawan ini, ia telah membuktikan bahawa Kerajaan Negeri dengan penglibatan secara sukarelawan daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sentiasa fokus kepada aktiviti-aktiviti berbentuk kesukarelawanan dan kemasyarakatan serta menggalakkan penyertaan belia yang lebih ramai dalam mendekati dan peduli kepada golongan sasar di peringkat akar umbi.

    Justeru itu, dengan pelaksanaan program-program tersebut, telah membuktikan bahawa PeBT terus komited dalam melaksanakan program-program pembangunan generasi muda berdasarkan kepada teras-teras utama pembangunan generasi muda untuk memastikan PeBT sentiasa dekat dan sentiasa memenuhi keperluan golongan generasi muda pada masa ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.