Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

45) PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI INDIA

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bentuk program pemberdayaan dan pembangunan komuniti kaum India dalam usaha menaiktaraf hidup mereka dan mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan?

    1. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menjaga dan memelihara hak serta kebajikan rakyat di negeri ini dengan tidak mengira agama, kaum mahupun bangsa. Walau bagaimanapun, di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin, tumpuan diberikan adalah khusus kepada pekerja ladang dan bekas pekerja ladang yang majoriti boleh saya katakan berbangsa India.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Melawati, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin telah memperuntukkan dana sebanyak RM2.5 juta pada tahun 2019 khusus bagi pelaksanaan program yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pekerja ladang dan bekas pekerja ladang, malahan turut dirasai oleh anak – anak mereka. Suka saya memaklumkan, peruntukan tersebut yang dahulunya telah ditetapkan sebanyak RM1.8 juta setahun telah ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini berdasarkan pencapaian Jawatankuasa dalam memelihara kebajikan pekerja ladang dan bekas pekerja ladang melalui penganjuran program – program yang khusus. Maka, tanggungjawab Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin kini adalah lebih besar dari tahun – tahun sebelum. Kepercayaan yang diberi oleh Kerajaan Negeri terhadap jawatankuasa akan digunakan sehabis baik dalam usaha memastikan kebajikan golongan tersebut dipelihara.

    Peranan Kerajaan Negeri dalam memelihara hak dan kebajikan golongan pekerja ladang dan bekas pekerja ladang dapat dilihat di bawah Portfolio Pembangunan Pekerja Ladang dan Portfoilo Program Pendidikan Anak – anak Pekerja Ladang. Di bawah portfolio Pembangunan Pekerja Ladang, Jawatankuasa telah menganjurkan beberapa bentuk program khusus yang memberi manfaat besar kepada pekerja ladang dan bekas pekerja ladang di Negeri Selangor. Di antara program – program tersebut adalah melibatkan program sambutan perayaan, kemahiran, motivasi, penerangan dan sebagainya. Antara program perayaan tahunan yang akan diadakan pada setiap tahun termasuklah Program Perayaan Pesta Ponggal,  Program Perayaan Thaipusam dan Program Sambutan Perayaan Deepavali. Dalam pada itu, bagi memastikan golongan pekerja ladang dan bekas pekerja ladang di negeri ini keluar dari dibelenggu kemiskinan, beberapa bentuk program yang berteraskan kemahiran telah dianjurkan untuk membantu mereka mempelajari perkara – perkara asas sesuatu bidang yang secara tidak langsung dapat menambah pendapatan sampingan mereka dalam meringankan beban dalam arus pemodenan yang semakin berkembang pesat.

    Sehubungan itu, manfaat melalui penganjuran program – program juga turut dirasai oleh anak – anak pekerja ladang di mana peruntukan sebanyak RM1.3 juta pada tahun – tahun sebelum telah ditingkatkan kepada RM2 juta pada tahun ini di bawah Portfolio Program Pendidikan Anak – anak Pekerja Ladang. Diantara program utama di bawah Portfolio Program Pendidikan Anak – anak Pekerja Ladang adalah seperti berikut :-

    PROGRAM PERUNTUKAN TAHUN 2018 (RM) PERUNTUKAN TAHUN 2019 (RM)
    Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah

    Pemberian wang RM300.00 kepada setiap anak pekerja ladang yang layak mengikut kriteria permohonan bagi setiap tahun.

     

    RM600,000.00

    Penerima manfaat :

    2,463 pelajar

    RM1 Juta

    Penerima manfaat setakat Julai 2019 :

    799 pelajar

    Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia

    Bantuan Yuran Pengajian maksima sebanyak RM5000.00 setiap pelajar yang layak mengikut kriteria permohonan bagi satu jurusan bagi mengurangkan bebanan yuran pengajian anak – anak kepada ibu bapa.

    RM300,000.00

    Penerima manfaat : 44 pelajar

    RM600,000.00

    Penerima manfaat setakat Julai 2019 :

    86 pelajar

     

    Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR)

    Penyampaian wang adalah berdasarkan keputusan UPSR yang diperolehi oleh pelajar terbabit. Ia dilaksanakan sebagai penghargaan kepada anak – anak pekerja ladang yang telah berjaya dan secara tidak langsung mengurangkan beban kos sara hidup kepada ibu bapa yang pekerja ladang

     

    RM150,000.00

    Penerima manfaat :

    6A 106 pelajar

    7A 107 pelajar

    8A 73 pelajar

    RM150,000.00

    Penerima manfaat :

    6A 129 pelajar

    7A 125 pelajar

    8A 103 pelajar

    Program–program Motivasi Anak Pekerja Ladang (Program Ad-Hoc)

    Dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi dan pendidikan di kalangan anak pekerja ladang di dalam menimba ilmu pendidikan.

     

    250,000.00

    (Sebanyak 10 program telah dianjurkan)

    RM100,000.00

    (Sebanyak 7 program telah dianjurkan setakat Julai 2019)

    Program Pembangunan Sukan, Sains, Inovatif dan Kebudayaan (PSIK)

    Program ini adalah merupakan program baru di bawah Jawatankuasa bertujuan memberi penghargaan berbentuk sumbangan wang tunai kepada pelajar sekolah tamil yang menyertai atau memenangi kejohanan di peringkat luar negara.

     

    RM150,000.00

    Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri akan terus membantu dan menjaga kebajikan pekerja ladang dan anak – anak pekerja ladang selaras dengan dasar – dasar Kerajaan Negeri sedia ada serta penguatkuasaan Undang – undang Buruh Di Malaysia : Akta Pekerja 1955. Selaras dengan akta berkenaan, Kerajaan Negeri turut mempunyai Estet Land Board (ELB) yang bertujuan untuk menyemak dan meluluskan apa – apa transaksi ladang yang mempunyai keluasan melebihi 100 ekar bagi tujuan pembangunan. Pertimbangan dan kelulusan ini juga akan mengambil kira fasiliti yang terdapat di dalam ladang berkenaan seperti sekolah, rumah ibadat, tapak perkuburan dan sebagainya. Ia adalah bagi membantu mereka untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya demi memastikan mereka terus berdaya saing dan maju seiring dengan pembangunan negara yang semakin pesat membangun.

    Oleh yang demikian, melalui penganjuran program – program sebagaimana yang telah dinyatakan, masyarakat India di Negeri Selangor khususnya pekerja ladang dan bekas pekerja ladang dapat diberdayakan dalam usaha menaiktaraf hidup mereka dan mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

    Dalam pada itu, sejak tahun 2017, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Pembangunan Usahawan India Negeri Selangor bagi tujuan membantu masyarakat India yang berpotensi dalam bidang keusahawanan untuk mendapat bimbingan serta tunjuk ajar dalam bidang perniagaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.