Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

168) PROGRAM PEMBANGUNAN PELANCONGAN

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap Rumah Rehat GAP di Bukit Fraser yang dilaporkan pada bulan September 2010 sebagai terbiar selama dua tahun?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor telah berurusan dengan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Selangor berkaitan projek baik pulih dan menaik taraf Rumah GAP Bukit Fraser.  Untuk makluman, projek ini adalah dibawah pengendalian dan peruntukan daripada pihak Kementerian Pelancongan Malaysia.

    Butiran Kerja ( Bill of Quantity – B.Q ) lengkap yang disediakan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)  telah diserah kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (PPN Selangor) sebagai agensi Pelaksana. Kini, Jabatan Warisan Negara sedang meneliti semula B.Q. tersebut berdasarkan kesesuaian dan penggunaan bahan binaan memandangkan projek ini melibatkan kerja-kerja konservasi bangunan lama. Kerja-kerja ini merupakan kerja-kerja menaiktaraf Rumah Gap Fasa 2 dan pemuliharaan semula bagi kerja-kerja Fasa 1 yang telah mengalami kerosakan akibat kelewatan peruntukan diturunkan sebelum ini oleh pihak Kementerian Pelancongan Malaysia.  Kelewatan ini berlanjutan sejak bulan Ogos 2010 sehingga kini iaitu kira-kira 1 tahun 5 bulan.

    Walaubagaimanapun, pihak TSSB dan UPEN menyedari proses ini telah mengambil masa yang agak lama untuk dilaksanakan. Oleh itu, semasa di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pelancongan yang telah diadakan pada 14 Februari 2012 lalu, mesyuarat telah memutuskan agar satu tempoh akhir diberikan terhadap pelaksanaan tersebut iaitu pada 29 Februari 2012. Sekiranya tiada sebarang kemajuan, maka kerajaan negeri Selangor akan mengambil alih projek tersebut.

    Memandangkan tiada sebarang maklum balas positif diterima dari pihak Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Selangor, maka pihak TSSB akan membuat satu kertas kerja cadangan untuk diusulkan kepada pihak UPEN dan seterusnya untuk mendapatkan ulasan berkaitan cadangan pengambil alihan projek berkenaan daripada pihak kementerian yang bertanggung jawab. Sekiranya dipersetujui, kerajaan Negeri di dalam masa terdekat akan mengangkat perkara ini kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk permohonan peruntukan bagi kerja-kerja Menaiktaraf Rumah Gap dan seterusnya mengambil alih projek tersebut memandangkan bangunan tersebut telah lama terbiar sejak tahun 2010.

Lampiran

Tiada Lampiran.