Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

16) PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah program tersebut berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di Selangor ?

    Seperti mana kita sedia maklum, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan memfokuskan kepada program-program ke arah mentransformasikan masyarakat miskin tegar dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Tiga (3) program teras pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan adalah seperti berikut:-

    Teras 1:    Program    yang    berupaya    menjana    dan              meningkatkan pendapatan:-

    • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    Teras 2: Program yang menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian melalui penajaan pendidikan/ latihan:-

    • Program Kemahiran Teknikal melalui Kolej Antarabangsa INPENS

    Teras 3: Program yang berupaya membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf hidup:-

    • Program Pemberian Bantuan Bersempena Perayaan; dan
    • Program Pemberian Bantuan Persekolahan Bersempena Back to School.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan beberapa Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah Jawatankuasa – jawatankuasa Tetap yang lain untuk membantu meringankan bebanan rakyat seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel), Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) dan pelbagai lagi.

    Melalui pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri ini, ianya dilihat berupaya menghasilkan impak positif terhadap pendapatan golongan sasaran serta seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan di Negeri Selangor. Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2012 (seperti di JADUAL 5), negeri Selangor mencatatkan peratusan kadar kemiskinan sebanyak 0.4% manakala 0.0% bagi kemiskinan tegar. Ini menunjukkan bahawa kadar kemiskinan di negeri Selangor adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.