PROGRAM PEMBINAAN UPAYA USAHAWAN INDIA SELANGOR

113) PROGRAM PEMBINAAN UPAYA USAHAWAN INDIA SELANGOR

Tahun:

Sesi:

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kandungan serta objektif Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor berbanding program usahawan sedia ada?

    Pada 31 Oktober 2016 di dalam Pembentangan Belanjawan 2017 Negeri Selangor yang lalu, Y.A.B. Dato’ Menteri Besar telah mengumumkan sebanyak RM1,000,000.00 diperuntukkan bagi tujuan Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor atau Selangor Indian Entrepreneurship and Capacity Building Program : Towards Economic Resilience, Empowerment and Upward Mobility.

    Mekanisme penganjuran akan melibatkan kerjasama di antara Kerajaan Negeri Selangor dan juga HIJRAH Selangor di mana HIJRAH Selangor merupakan agensi di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan. Agensi ini berperanan untuk membantu usahawan-usahawan kecil meningkatkan pendapatan melalui penyaluran modal tambahan.  Selain itu HIJRAH Selangor adalah agensi yang akan bertanggungjawab untuk melaksana dan memantau program ini dan melantik syarikat-syarikat yang mempunyai kepakaran yang ditentukan merangkumi sektor pembuatan dan perkhidmatan.

    Antara modul yang telah dirangka adalah peserta akan menyertai latihan berbentuk kemahiran bersama syarikat peneraju/ mentor terpilih dan akan dipantau selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung pada industri yang terpilih. Di dalam tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju.

    Syarikat peneraju yang dipilih merupakan business player di dalam industri masing-masing. Ia adalah latihan secara terus di dalam bidang perniagaan dan peserta berpeluang untuk menjalani latihan dan dalam masa yang sama sebagai permulaan peserta dapat menghasilkan produk untuk dijual terus dalam skala yang kecil.

    Di antara industri yang telah dikenal pasti adalah seperti berikut:

    • Penjahitan;
    • Pembuatan bakeri;
    • Pembuatan aksesori wanita;
    • Percetakan baju; dan
    • Perkhidmatan (reka grafik dan solekan).

    Objektif utama Kerajaan Negeri dalam penganjuran program ini adalah seperti berikut:-

    • Untuk melahirkan minimum 268 usahawan India yang berpengetahuan sifar kepada usahawan berkemahiran untuk mengusahakan perniagaan berskala kecil;
    • Memastikan golongan sasaran dapat menaik taraf kehidupan dan ekonomi menerusi janaan pendapatan melalui kemahiran sendiri; dan
    • Sebagai medium usahawan India meningkatkan daya saing dengan menceburi bidang keusahawanan.

    Berbanding dengan program usahawan sedia ada, program ini seakan program inkubator di mana pelaksanaan akan dipantau dari peringkat permulaan sehingga akhir.  Peserta terdiri daripada kaum India sahaja dan mereka dilatih dan pantau oleh syarikat peneraju sehingga mahir di dalam bidang yang diceburi.  Pemantauan juga berterusan sehingga 3-6 bulan.

Lampiran

Tiada Lampiran.