Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

192) PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah tindakan telah diambil bagi menangani isu pencemaran Sungai Buloh khususnya yang memberi kesan kepada para nelayan di Bagan Sungai Buloh?

    (a) dan (b) dijawab bersekali.

    Lembangan Sungai Buloh merupakan antara lembangan sungai utama di Negeri Selangor yang mengalami penurunan kualiti air berikutan pembangunan perindustrian dan komersial yang pesat di kawasan persekitarannya. Anggaran luas kawasan tadahan Lembangan Sungai Buloh ialah 524 km2 dengan anggaran  panjang sungai ialah  64.1 km. Kawasan hulunya bermula dari kawasan Hospital Sg. Buloh sehingga ke Muara Pekan Sg. Buloh Jeram, Kuala Selangor. Walau bagaimanapun, Sungai Buloh tidak membekalkan sumber air kepada sebarang Loji Pembersihan Air (LPA) tetapi di bahagian muara Sungai Buloh dan disepanjang pantainya merupakan pusat ekonomi nelayan bagi penternakan kebun kerang. Sebarang pencemaran dari sungai akan memberi kesan kepada hidupan persisiran pantai khususnya kerang.

     

    Selaras dengan itu, inisiatif Kerajaan Negeri melalui LUAS telah dilaksanakan bagi memastikan langkah-langkah kawalan pencemaran Sungai Buloh seperti berikut:

     

    1. LUAS turut mengambil tindakan proaktif dengan menjalankan Kajian Kebersihan Sungai Buloh pada tahun 2012 melalui kaedah pemantauan dan pensampelan di tapak untuk mengenal pasti dan mengemaskini inventori punca pencemaran di Sungai Buloh. Penemuan antara punca pencemaran yang berpotensi bagi aliran hitam adalah dari premis perindustrian besi, kilang kitar semula plastik dan juga kilang kertas serta loji rawatan kumbahan telah dipanjangkan ke pihak Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya. Kajian Kebersihan Sungai Buloh diteruskan pada tahun 2019 bagi mengenal pasti punca pencemaran berkaitan;

     

    1. Insiatif LUAS dengan mengadakan Bengkel Pelan Tindakan Sungai Buloh pada 26 April 2016 bersama agensi teknikal, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah, pihak berkepentingan termasuk Persatuan Nelayan dalam membangunkan Pelan Tindakan Sungai Buloh (PTSB) yang merangkumi polisi dan strategi dalam memastikan air mencukupi, bersih, perlindungan daripada banjir dan pemuliharaan alam sekitar;

     

    • Mengadakan perbincangan dan penyelarasan tindakan bersepadu melalui Mesyuarat Pelan Tindakan Sungai Buloh (PTSB) yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Pengarah LUAS Bil 1/2017 pada 6 Jun 2017. Mesyuarat PTSB ini diurusetiakan LUAS yang turut dihadiri oleh semua agensi teknikal berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Daerah dan Tanah, wakil pihak berkepentingan dan dipengerusikan oleh Pengarah LUAS. Penyelarasan aduan yang diterima LUAS dan maklum balas juga dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pengurusan Aduan LUAS yang diadakan setiap bulan;

     

    1. LUAS juga telah melantik perunding bagi menjalankan Kajian Pemetaan Dan Inventori Aktiviti Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi Sungai Buloh, Sungai Langat Dan Sungai Selangor pada tahun 2019. Ini adalah bagi mengenal pasti aktiviti-aktiviti di sepanjang rizab sungai yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan juga bagi tujuan kawalan aktiviti-aktiviti di rizab sungai. LUAS juga dimaklumkan pihak JPS akan membangunkan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Buloh pada tahun 2019 yang akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kualiti air di Sungai Buloh.

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

    Maklumat Tambahan :

    Maka pemantauan berkala LUAS menggunakan dron dan pensampelan pada 16 dan 17 Oktober 2019 mendapati paras air Sungai Buloh yang tinggi dan tiada penemuan sebarang air hitam di kawasan Paya Jaras Hilir di Sungai Kedondong, Kawasan Perindustrian Ijok, Kg. Parit Mahang, Desa Coalfield, Kg Baru Sg Buloh dan Jeti Sungai Buloh. Walau bagaimanapun siasatan pada 20 Oktober 2019 telah menemui aliran air kehitaman dari kawasan parit borrowpit di Kg Bukit Kuching di mana merupakan kesan dari kawasan tanah gambut di sekitar ladang kelapa sawit tetapi berdasarkan pensampelan warna air adalah jernih dan tidak berbau. Lembaga dimaklumkan penduduk kampung aliran kehitaman di Sungai Buloh biasanya berlaku apabila paras air sungai rendah. Lembaga mendapati ini berikutan kurangnya faktor pencairan dalam sungai dan apabila musim hujan dan paras Sg Buloh tinggi warna air sungai akan kelihatan baik.

     

    Berdasarkan siasatan di lokasi tersebut juga penemuan kepada kandang penternakan lembu dalam anggaran 100 ekor yang beroperasi dan mengalirkan discaj efluen tanpa rawatan yang berbau busuk dipercayai daripada sisa najis haiwan yang mengalir ke parit borrowpit dan seterusnya ke Sungai Buloh. Jarak lokasi tersebut ke pintu air JPS sebelum memasuki Sungai Buloh adalah anggaran 5.83 km. LUAS telah menjalankan pensampelan di parit borrowpit hulu dari lokasi kandang lembu, di saliran efluen penternakan lembu dan di hilir sebelum memasuki Sungai Buloh dan semua sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa lanjut.

     

    Berhubung aktiviti kandang ternakan lembu yang mengalirkan discaj efluen tanpa rawatan, LUAS mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 kepada pihak Pengusaha bagi melaksanakan tindakan-tindakan yang perlu untuk melindungi sumber air daripada tercemar. Jika ingkar, pesalah boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM 3,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan sehingga perintah itu ditarik balik.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.