Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

106) PROGRAM PENGAJIAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI BERKAITAN REVOLUSI PERINDUSTRIAN 4.0

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program-program pengajian di institusi pendidikan tinggi kerajaan yang mendedahkan pelajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0?

    Institusi Pengajian Tinggi memainkan peranan penting dalam membangunkan sumber tenaga manusia seiring dengan perkembangan terbaru Industri 4.0. Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengambil langkah proaktif dalam melibatkan institut pengajian tinggi di Negeri Selangor khususnya di bawah Kerajaan Negeri Selangor untuk melatih golongan Millennials dalam bidang kemahiran teknikal.

    Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) telah menjalankan program-program yang kurikulumnya berteraskan arus perubahan teknologi yang menjurus kepada perkembangan industri 4.0 seperti bidang kejuruteraan dan bidang Teknologi Maklumat.

    Sejak 2015 Fakulti Sains Komputer di UNISEL telah mengadakan jalinan kerjasama dengan pihak industri melalui Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) dalam bidang Big Data Analytics, Cloud Computing dan Sistem Automasi Industri. Pada tahun 2016, fakulti kejuruteraan UNISEL telah melaksanakan program Internet of Things (IoT) serta mewujudkan konsep Smart Classroom di Unisel.

    Usaha untuk memperkasakan sumber tenaga manusia melalui Institut Pengajian Tinggi ke arah industri 4.0 dipertingkatkan pada tahun 2018 dengan menyediakan sejumlah RM52 juta peruntukan bagi melatih golongan Millennials bagi mengikuti kursus kemahiran teknikal di institusi kemahiran terpilih seperti Kolej Antarabangsa Inpens dengan percuma berdasarkan kepada syarat-syarat ditetapkan. Program ini dikenali sebagai Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS). Selain itu, Kerajaan Negeri melalui program IKTISASS turut menawarkan program latihan Smart Factory dengan kerjasama SHRDC dengan tujuan mewujudkan graduan yang berupaya mengubah industri perkilangan di Selangor ke arah konsep “Kilang Pintar”.

    Oleh itu, peranan institut pengajian tinggi amatlah penting dalam memberi pendedahan kepada golongan muda dalam industri 4.0.

Lampiran

Tiada Lampiran.