Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

259) PROGRAM PENJANAAN EKONOMI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam menangani masalah kejatuhan ekonomi serta mempertahankan kestabilan ekonomi negeri dan penduduk?

    Jawapan bagi Sub Soalan A dan B:

    Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak yang besar kepada ekonomi negara dan Negeri Selangor secara khususnya. Pelbagai langkah telah diambil sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupu Kerajaan Negeri bagi menangani kesan penularan wabak Covid – 19 ini. Bagi negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif untuk mempertahankan ekonomi  negeri daripada terus merundum. Sehubungan dengan itu, suntikan economic relief bagi jangka masa pendek telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam kadar segera untuk menangani keadaan ini.

    Lantaran itu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif yang berani dengan melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa I dengan impak kewangan sebanyak RM127.78 juta sebagai perancangan jangka pendek yang berpaksikan kepada tujuan untuk memelihara kesejahteraan rakyat Selangor yang terkesan dengan pandemik tersebut dan untuk memastikan supaya ekonomi negeri masih lagi dipangkin kukuh tanpa jatuh dengan teruk.

    Apabila kerajaan mengumumkan PKP disambung lagi bagi fasa kedua bermula pada 1 April 2020, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan melanjutkan pelaksanaan  Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa II dengan melibatkan impak kewangan berjumlah RM272.5 juta. Inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa II ini bersifat lebih menyeluruh dan komprehensif berbanding Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa I kerana pelaksanaannya mencakupi pelbagai kumpulan sasaran dan merentasi pelbagai aktiviti ekonomi dengan lebih meluas.

    Selain itu, Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa II ini juga telah ditambahbaik dengan beberapa lagi inisiatif kerana Kerajaan Negeri ingin memastikan supaya tiada rakyat Selangor yang tercicir dari menerima bantuan Kerajaan Negeri. Anggaran kos keseluruhan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa I dan II serta Fasa II Tambahan melibatkan kos sebanyak RM413.883 juta.

    Sejajar dengan pembukaan ekonomi dengan lebih 70 peratus tenaga kerja telah mula kembali bekerja di lapangan, Selangor kini sedang berada dalam kapasiti yang bersedia untuk memasuki ke fasa pemulihan ekonomi. Sebagai pemangkin untuk mengukuhkan dan menstabilkan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Pelan Pemulihan Ekonomi yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Pelan Pemulihan Ekonomi ini merupakan pelan economic relief dalam jangka masa panjang yang lebih menumpukan kepada usaha untuk memulihkan semula ekonomi negeri secara beransur – ansur dengan penglibatan dan kerjasama dari pelbagai pihak berkepentingan.

    Pelan Pemulihan Ekonomi ini menekankan kepada tiga tonggak utama dalam menangani pandemik ini. Tiga tonggak utama tersebut yang akan diberi penekanan ialah Keselamatan Makanan (food security), Kemampanan Ekonomi (economy sustainability) dan Pembangunan Kapasiti (capacity building).

    Pelan Pemulihan Ekonomi ini juga bersifat menyeluruh dan mempunyai capaian kepada semua lapisan dan kelompok masyarakat dalam pelbagai sektor dan pelaksanaannya juga akan mengambilkira faktor ekonomi semasa negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.