Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

116) Program Ride Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan perkembangn terkini mengenai program RiDE Selangor dari segi jumlah permohonan dan kelulusan.

    Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda Negeri Selangor bersama Majlis Sukan Negeri Selangor telah menerima 21,354 permohonan sehingga 12 Oktober 2020 dan seramai hampir 1,980 orang anak muda yang layak untuk menerima insentif RiDE sejak permohonan ini dibuka Ogos 2020 yang lalu. Permohonan ini berdasarkan konsep “First Come First Serve” dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Permohonan RiDE ini masih dibuka sehingga 30 Disember 2020.

    Selain subsidi Lesen Memandu Motorsikal, pemohon yang berjaya juga akan diberikan bantuan bagi menyertai perkhidmatan E-Hailing dan pihak kerajaan negeri juga memberikan perlindungan melalui skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM70 bagi tempoh setahun.

    Antara faktor permohonan gagal adalah pemohon telah melebihi umur 30 tahun pada tahun 2020 dan tidak memiliki Lesen Memandu Motorsikal B2. Tahun 2020 ini menyaksikan penularan wabak COVID-19 telah mengakibatkan banyak permohonan bagi mendapatkan lesen memandu motorsikal sedikit terkesan dan berlaku kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan bermula Mac yang lalu.

    Justeru itu, beberapa langkah penyesuaian telah diambil bagi membantu lebih ramai anak muda mendapat insentif tersebut. Berikut adalah langkah penyesuaian yang telah diambil:

    1. Membuka permohonan kepada anak muda yang telah memiliki Lesen Memandu Motorsikal B2 sejak Julai 2019.
    2. Membuka permohonan kepada anak muda yang telah berkhidmat dengan perkhidmatan E-Hailing. Antara kerjasama yang telah dibuat adalah bersama syarikat Warong Rider, Bungkus It dan Seldec.
    3. Memberi kelonggaran terhadap permohonan yang telah memiliki Lesen D iaitu Lesen Memandu Motokar, bukan Lesen Tunggal.

     

    Satu majlis penyerahan insentif tersebut dirancang untuk diadakan pada 24 Oktober 2020 namun ianya terpaksa ditangguh disebabkan negeri Selangor sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Majlis penyerahan insentif tersebut akan diadakan selepas PKPB ini ditamatkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.