Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

119) PROGRAM RUMAH SENDIRI UNTUK GENERASI MUDA

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Marsum Bin Paing

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah wujud sebarang perancangan atau insentif oleh kerajaan negeri bagi membolehkan generasi muda Selangor mampu memperolehi rumah sendiri?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menyediakan keperluan perumahan
    kepada semua golongan masyarakat di Negeri Selangor. Ini termasuklah penyediaan
    perumahan untuk generasi muda. Untuk itu, Kerajaan Negeri melalui Dasar
    Pembangunan Tanah telah menetapkan sebarang pembangunan tanah yang
    melebihi 10 ekar dalam kawasan Lembah Klang akan dikenakan syarat pembinaan
    20% Rumah Kos Rendah, 20% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah
    Kos Sederhana manakala kawasan di Luar Lembah Klang pula akan dikenakan
    syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 10% Rumah Kos Sederhana Rendah
    dan 10% Rumah Kos Sederhana. Manakala bagi pembangunan yang kurang
    daripada 10 ekar (2 hingga kurang 10 ekar) pula, syarat penyediaan 30% rumah kos
    sederhana akan dikenakan bagi kawasan dalam Lembah Klang. Melalui dasar
    tersebut ia secara tidak langsung bukan sahaja membantu Kerajaan Negeri dalam
    menyediakan keperluan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan
    sederhana tetapi juga bagi golongan belia. Ini kerana berdasarkan kepada
    pemerhatian mendapati kebanyakan ekonomi golongan belia khususnya eksekutif
    muda masih kurang stabil dan pengenalan dasar ini akan dapat memberi peluang
    kepada mereka memiliki hartanah mampu milik sebelum berkemampuan memiliki
    perumahan harga tinggi pada masa hadapan.
    Untuk pengetahuan Yang Berhormat, Dasar Kerajaan Negeri adalah untuk
    menyediakan perumahan kepada semua penduduk di Negeri Selangor. Ini
    termasuklah juga perumahan bagi golongan muda. Berdasarkan kepada keadaan
    semasa, purata pendapatan golongan ini adalah di antara RM1,500.00 sehingga
    RM3,000.00. Untuk itu, selain mengguna pakai Dasar Pembangunan Tanah sedia
    ada untuk merealisasikan matlamat penyediaan perumahan untuk semua penduduk
    di Negeri Selangor tanpa mengira apa jua golongan, Kerajaan Negeri juga
    mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan reka bentuk baru rumah
    mampu milik yang lebih mampan dan kondusif. Matlamat utama penyediaan reka
    bentuk baru ini adalah untuk memberi lebih keselesaan dan menyediakan saiz
    rumah berdasarkan keperluan sendiri. Pengenalan konsep reka bentuk dan
    perancangan rumah mampu milik ini menekan ciri-ciri berikut:
    i. Reka bentuk rumah mampu milik yang lebih terkini;
    ii. Mengintegrasikan rumah mampu milik dengan rumah-rumah yang lain;
    iii. Mempelbagaikan jenis rumah mengandungi rumah satu bilik, rumah 2 bilik
    dan seterusnya dalam satu blok bangunan;
    iv. Mengambil kira aspek kemapanan dari segi bahan binaannya dan
    persekitarannya;
    v. Mampu memberi keselesaan dari segi saiz rumah (saiz minimum 750 kaki
    persegi);
    vi. Penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi seperti kawasan
    riadah, surau dan sebagainya;
    vii. Menerapkan konsep kejiranan yang baik;
    viii. Kos penyelenggaraan yang murah; dan
    ix. Harga jualan yang dicadangkan adalah rendah iaitu tidak melebihi
    RM100,000.00 seunit.
    Untuk itu, sebuah tapak di Bandar Baru Bangi, Mukim Kajang, Daerah Hulu Langat
    milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah dipilih sebagai projek
    perintis pelaksanaan konsep baru rumah mampu milik tersebut yang mana Pelan
    Kebenaran Merancang / Susun atur telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kajang
    (MPKj). Dengan pengenalan reka bentuk baru ini diharap dapat menjadi alternatif
    kepada reka bentuk kepada rumah mampu milik sedia ada pada masa kini yang
    akan dijadikan model khusus untuk diguna pakai oleh pemaju-pemaju swasta serta
    menjadi pilihan kepada pembeli termasuk golongan muda untuk membeli hartanah
    berdasarkan kepada kemampuan masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.