Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

145) PROGRAM SUBSIDI BAS SEKOLAH

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperluaskan bantuan subsidi bas sekolah untuk pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina?

    1. Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Meru di atas pertanyaan berkenaan subsidi tambang bas sekolah kepada pelajar-pelajar khususnya di Negeri Selangor. Saya menyambut baik akan cadangan Yang Berhormat Meru untuk memperluaskan bantuan subsidi bas sekolah untuk pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, setiap Jawatankuasa Tetap yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat EXCO, masing-masing mempunyai pelaksanaan program-program berbeza di bawah portfolio dengan sasaran yang berbeza namun tujuan yang sama iaitu memberi manfaat kepada rakyat di Negeri Selangor.

     

    Di bawah Portfolio seliaan saya, sasaran utama adalah difokuskan kepada anak-anak pekerja ladang, pekerja ladang dan bekas pekerja ladang yang majoriti melibatkan kaum India yang kurang berkemampuan dan miskin. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat Melayu dan Cina di Negeri Selangor, kumpulan sasaran tersebut lebih difokuskan di bawah Portfolio Yang Berhormat EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi serta Yang Berhormat EXCO Pembangunan Kampung Baru. Memandangkan peruntukan sedia ada di bawah Jawatankuasa Kerajaan Prihatin adalah terhad maka peruntukan tersebut hanya dapat menampung keperluan sumbangan kepada kumpulan sasaran sahaja yang telah ditetapkan di bawah portfolio saya.

     

    Walau bagaimanapun, selain daripada Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru juga telah menyediakan perkhidmatan bas secara percuma yang dikenali sebagai Bas Smart Selangor. Perkhidmatan Bas Smart Selangor ini tidak disasarkan kepada golongan tertentu bahkan ianya terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor secara percuma. Dalam usaha menggalakkan rakyat di negeri ini untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, Kerajaan Negeri telah memperluaskan laluan Bas Smart Selangor ke tempat-tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi termasuk di luar bandar secara berperingkat.

     

    Sehubungan itu, saya percaya jabatan dan agensi kerajaan sedia ada sentiasa mencari alternatif dan pandangan baharu bagi memastikan kebajikan rakyat di negeri ini khususnya yang kurang berkemampuan terbela. Kerajaan Negeri juga sentiasa menambahbaik program-program sedia ada yang melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam untuk menarik lebih ramai orang khususnya rakyat Negeri Selangor menggunakan kemudahan ini.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.