Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

52) PROGRAM TURUN PADANG MB KE SETIAP DAERAH

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Meminta Menteri Besar memberi keterangan tentang hasil-hasil pertemuan di antara Menteri Besar dengan masyarakat setempat setiap kali Menteri Besar turun padang ke setiap daerah di Selangor.

    Program turun padang Menteri Besar atau nama rasmi program ini iaitu Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) merupakan sebahagian daripada usaha barisan kepimpinan Negeri Selangor untuk terus mendekati rakyat. Di dalam program ini, barisan kepimpinan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar Selangor berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada kakitangan Perkhidmatan Awam, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK), Ketua-Ketua Masyarakat Cina dan India serta rakyat jelata amnya.

    Secara ringkas, hasil pertemuan di antara Menteri Besar dengan masyarakat setempat boleh dilihat dari dua aspek iaitu, pencapaian objektif program dan penyelesaian aduan rakyat.

    Pencapaian Objektif Program

    Sehingga Julai 2011, pelaksanaan PKMR di empat buah daerah iaitu Klang, Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor telah pun mencapai objektif asal program ini iaitu mewujudkan platform khas bagi barisan kepimpinan Negeri Selangor menerangkan tentang dasar-dasar kerajaan negeri samada yang telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan atau pun akan dilaksanakan pada masa hadapan. Di antara dasar-dasar yang dimaksudkan adalah:-

    1. Program-Program Di Bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES); ii. Program Blue Print Menangani Kemiskinan Negeri Selangor iii. Pengurangan kadar premium tanah kepada RM1,000.00; DAN iv.   Meningkatkan Kecekapan Pentadbiran Tanah.

    Bagi membuktikan bahawa pelaksanaan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bukan satu retorik, majlis penyerahan manfaat bagi pihak yang layak juga telah diadakan dalam program ini melibatkan:-

    1. Bayaran baki RM1,500 bagi penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE);
    2. Sijil Tabungan RM100 bagi penerima Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS);

    DAN

    Kelulusan Pinjaman RM3,000 bagi Skim Mikro Kredit Negeri Selangor.

    Di dalam program yang sama, pelbagai bantuan dan insentif lain telah disalurkan kepada rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama seperti:-

    1. Kelulusan Lesen Menduduki Sementara (TOL);
    2. Bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT);
    3. Sumbangan kepada Pelajar-Pelajar Cemerlang; DAN
    4. Bantuan tambang bas kepada anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.

    Penyelesaian Aduan Rakyat

    Pelaksanaan PKMR juga berjaya melebihi ekpektasi umum apabila Menteri Besar sendiri bersedia mendengar dan berdialog dengan rakyat berhubung pelbagai permasalahan yang sedang mereka hadapi. Sesi dialog ini telah disertai oleh KetuaKetua Jabatan peringkat daerah yang mana hampir keseluruhan persoalan dan permasalahan yang dibangkitkan telah dijawab secara in-situ. Manakala, apa-apa permasalahan yang melibatkan komplikasi tinggi terutama dari segi perundangan dan kewangan telah diambil perhatian oleh Jabatan yang terlibat untuk diselesaikan secepat mungkin.

    Hasilnya, kepimpinan Negeri Selangor telah pun mendapat gambaran tentang permasalahan rakyat berdasarkan lokaliti dan juga punca-punca mengapa ia berlaku. Kefahaman ini sudah semestinya dapat memudahkan usaha sama yang akan dilakukan pada masa hadapan. Inisiatif untuk memahami masalah rakyat ini diambil supaya rakyat merasai kehadiran barisan kepimpinan Negeri Selangor yang telah berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat selaras dengan visi dan misi Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.