Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

86) PROGRAM USAHAWAN WANITA

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Kerajaan Negeri dapat membantu secara khusus usahawan wanita untuk melariskan jualan produk dan mengembangkan perniagaan?

    Dalam agenda memperkasakan usahawan-usahawan Negeri Selangor, Kerajaaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah memperuntukkan dana untuk menyediakan insentif dan merangka program-program yang berimpak tinggi dalam meningkatkan mutu produk usahawan. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap peniaga-peniaga yang melibatkan diri dalam industri ini kerana kebanyakkan peniaga di daerah-daerah di negeri Selangor terlibat dengan perniagaan mikro  menjadikan perniagaan ini sebagai sumber pendapatan keluarga.

     

    Inisiatif pembangunan usahawan ini tidak mensasarkan golongan tertentu dan ia terbuka kepada semua usahawan di Negeri Selangor untuk meningkatkan diri, perniagaan dan menjana ekonomi keluarga.  Berikut merupakan insentif yang disediakan :

     

    1. DANA USAHAWAN MIKRO SELANGOR

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan memberikan bantuan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di negeri Selangor. Dana Usahawan Mikro Selangor merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.  Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan mendapat manfaat daripada bantuan ini.

     

     

    Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM250,000.00 bagi setiap daerah untuk menyalurkan bantuan kepada pemohon yang layak.  Seorang pemohon layak menerima bantuan sehingga RM30,000.00.  Skop bantuan adalah seperti berikut:

     

     

    • Bantuan pembelian mesin / peralatan / perkakasan;

     

    • Meningkatkan kualiti premis/perniagaan iaitu mengubahsuai/menaiktaraf;

     

    • Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahawan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;

     

    • Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, persijilan GMP,HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan

     

    • Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di negeri Selangor.

     

    1. PAMERAN/EKSPO

    Salah satu langkah bagi mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di negeri Selangor adalah melalui ekspo dan pameran.  Setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan akan menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan Selangor International Expo (SIE). Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor.

     

    Pada tahun ini, buat kali ke tiga (3) Kerajaan Negeri akan menyertai pameran antarabangsa ke China ASEAN Expo (CAEXPO) yang akan diadakan pada bulan September di Nanning, China anjuran People’s Government of Guangxi Zhuang Autonomous Region dan ditaja oleh Ministry of Commerce, P.R. China.  Kerajaan Negeri Selangor menyertai pameran ini melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang merupakan badan yang berperanan untuk mempromosi, membantu dan membangunkan perdagangan luar Malaysia dengan memberi penekanan ekspot terhadap produk keluaran Malaysia.

     

    • KURSUS/LATIHAN

    Selain itu, bagi usahawan di peringkat permulaan, Kerajaan Negeri menganjurkan kursus-kursus bagi memberi pendedahan tentang bagaimana untuk mempersiapkan produk mereka sekurang-kurangkan untuk menembusi pasaraya tempatan.   Modul kursus terdiri daripada asas perniagaan dan kewangan, penjenamaan produk, pensijilan produk serta pemasaran online dan ke rangkaian pasaraya.

     

    1. PROGRAM PEMBUNGKUSAN PRODUK MADE IN SELANGOR

    Dalam usaha untuk memberi value added kepada produk tempatan agar dapat meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke pasaran antarabangsa (market penetration and expansion), Kerajaan Negeri juga mengadakan Program Pembungkusan Produk Made In Selangor (MIS) kepada usahawan yang sudah bersedia untuk mempertingkatan mutu pembungkusan dan pensijilan produk.  Peserta yang mengikuti program ini akan menerima pensijilan produk, rekabentuk jenama, pendaftaran jenama (MyIPO) dan cetakan pembungkusan yang diperbaharui.

     

    1. PROGRAM PEMBINAAN UPAYA USAHAWAN INDIA SELANGOR

     

    Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan.  Di samping itu, ianya adalah program keperluan dalam menyediakan usahawan India menjadi lebih berdikari   dan   mampu  untuk   menjana   mobiliti Peserta akan diberikan  pembangunan latihan dan pengupayaan untuk membina kepakaran, penyediaan cadangan projek selain daripada pengurusan pemasaran dan kewangan.  Antara modul yang telah dirangka adalah peserta akan menyertai latihan berbentuk kemahiran bersama syarikat peneraju/mentor terpilih dan akan dipantau selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung pada industri yang terpilih. Di dalam tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju.  Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Pada tahun 2017, seramai 400 orang telah menyertai program ini yang dilaksanakan di enam (6) daerah di negeri Selangor.

     

    Pada tahun 2018, sebanyak RM849,811.00 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor.  Sebanyak 15 sesi kursus telah dijalankan dan 320 peserta telah mengikut program ini.

     

    1. PINJAMAN MIKROKREDIT HIJRAH SELANGOR

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan berperingkat bermula tahun 2015.  Ia merupakan satu sistem pengeluaran modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan.  Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat tertentu.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.