Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

76) PROJEK KITAR SEMULA

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan yang konsisten untuk mempromosikan projek-projek ataupun program-program kitar semula di dalam negeri?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah sentiasa berusaha untuk memastikan kitar semula menjadi kebiasaan dan amalan penduduk di negeri ini.

    Antara projek yang dirancang untuk mempromosi atau menggalakkan kitar semula adalah untuk mewujudkan Pusat Kitar Semula yang komprehensif di semua PBT di Negeri Selangor dan projek perintis kitar semula yang akan melibatkan beberapa buah kampung terpilih.

    Bagi tujuan ini, sebanyak 24 lokasi di kawasan PBT dan 25 buah kampung tradisi telah dikenalpasti sebagai lokasi Pusat Kitar Semula di seluruh negeri ini dan Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM950,000.00.

    Selain itu, antara program kitar semula yang dilaksanakan terutamanya di peringkat PBT adalah seperti berikut:

    1. Mengadakan pertandingan kitar semula Jawatankuasa Penduduk (JKP), tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah;
    2. Kempen Pelaksanaan Amalan Kitar Semula dengan mengadakan Pertandingan (Reduce, Reuse, Recycle) 3R peringkat Ahli Majlis dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk
    3. Mempromosi dan melaksanakan program di kawasan dalam bandar dan luar bandar dengan mewujudkan pusat kitar semula setempat;
    4. Mengedar e-poster kitar semula kepada orang awam melalui group whatsapp dan memuatnaik maklumat berkaitan projek/ program kitar semula dalam laman web PBT;
    5. Memberikan taklimat kesedaran dan panduan kitar semula kepada sekolah, penduduk dan restoran;
    6. Memperbanyakkan kemudahan seperti lori bergerak kitar semula bagi tujuan kutipan dan promosi; dan
    7. Menjalankan program pengasingan sisa dipunca bermula dari rumah dan kutipan akan dijalankan mengikut hari yang ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.