Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

162) Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL)

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejak Mac 2020, berapa kali wakil Jabatan, Agensi dan Kerajaan Negeri Selangor telah dijemput berbincang tentang projek ECRL bersama wakil Kerajaan Persekutuan.

    Jawapan bagi Sub Soalan A dan B:

    Melalui penelitian saya, beberapa soalan yang telah ditanyakan tentang perkara berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Soalan-soalan tersebut datangnya dari Bukit Lanjan dan Banting.

    1. Kronologi dan status kemajuan terkini projek ECRL di Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    (a) Projek ECRL dibentangkan pertama kali dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 17 Julai 2019. Dalam pembentangan tersebut, jajaran ECRL yang dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri adalah laluan Mentakab – Jelebu – Bangi/Kajang – Putrajaya – Port Klang. Walaupun tiada sebarang kelulusan dasar oleh Kerajaan Negeri pada ketika itu, namun pihak MRL perlu memberi perhatian kepada pandangan-pandangan yang telah diberikan Kerajaan Negeri Selangor serta mengadakan perbincangan lanjut dan engagement bersama Jabatan dan Agensi Kerajaan yang berkenaan;

    (b) Projek ini dibentangkan selanjutnya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor (SPC) pada 30 Januari 2020 dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Projek ECRL Bil.1/2020 pada 31 Januari 2020 di mana beberapa perkara telah dibangkitkan dan ianya perlu diambilkira oleh pihak MRL Sdn. Bhd sebagai wishlist Kerajaan Negeri atau keutamaan dalam pelaksanaan projek ini di Negeri Selangor. Antara perkara-perkara yang penting untuk diberi perhatian adalah dari segi jajaran, kedudukan cadangan stesen, rekabentuk jajaran melibatkan pembinaan jambatan, perkara-perkara berkaitan pengambilan tanah, Tanah Rezab Melayu, penempatan Orang Asli, Hutan Simpan Kekal, kawasan-kawasan sensitif seperti kawasan tadahan air, tanah gambut dan cerun, pematuhan dasar-dasar Kerajaan, Rancangan Tempatan, langkah-langkah mitigasi dan kesan terhadap alam sekitar yang perlu dibuat serta faedah projek ini kepada Kerajaan Negeri Selangor;

    (c) Namun demikian, semasa sesi perjumpaan YBhg. Tan Sri Pengerusi MRL bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor berhubung projek ECRL pada 25 Jun 2020, Kerajaan Negeri telah dibentangkan cadangan pindaan jajaran kepada jajaran asal dengan cadangan mitigasi bagi isu-isu yang dibangkitkan oleh jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Selangor. Susulan daripada perbincangan ini juga, jabatan dan agensi Kerajaan telah mengemukakan ulasan dan maklum balas terhadap pindaan jajaran yang dicadangkan agar dapat diperhalusi oleh pihak Kerajaan Persekutuan; dan

    (d) Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) Khas Bil.2/2020 pada 7 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa cadangan ECRL Seksyen C (Temerloh-Port Klang) Jajaran Mentakab – Jelebu – Putrajaya – Sri Cheeding – Port Klang adalah yang terbaik berbanding jajaran asal Bentong – Gombak – Serendah – Pelabuhan Klang, melainkan isu-isu yang dibincangkan dapat diatasi dan diselesaikan kerana Kerajaan Negeri tidak mahu mengambil risiko yang tinggi yang akan memberi impak negatif kepada sosial, alam sekitar dan infrastruktur sedia ada.

    2. Sehubungan dengan itu juga, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke-32/2020 bertarikh 2 September 2020 telah bersetuju agar Kerajaan Negeri memaklumkan secara rasmi kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengenai pendirian Kerajaan Negeri Selangor berhubung pilihan laluan yang terbaik adalah Jajaran Seksyen C bagi Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

    3. Untuk makluman Yang Berhormat Banting, hanya satu (1) mesyuarat di peringkat daerah iaitu Mesyuarat Majlis Daerah Kuala Langat Bil.1 Tahun 2019 pada 26 Disember 2019 yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) diberikan taklimat cadangan projek ECRL ini, manakala untuk makluman Yang Berhormat Bukit Lanjan pula sebanyak 8 siri mesyuarat berkaitan projek ini di peringkat Persekutuan yang dihadiri oleh wakil Kerajaan Negeri.

    4. Beberapa siri perbincangan dan mesyuarat yang telah diadakan di peringkat negeri ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri amat memberi perhatian dan keutamaan terhadap pelaksanaan projek ECRL ini terutamanya setelah Kerajaan Negeri diberi taklimat berhubung cadangan pindaan jajaran tersebut dengan mengambilkira semua maklum balas yang diberikan oleh jabatan dan agensi yang terlibat. Kerajaan Negeri perlu memastikan pelaksanaan projek ini tidak memberikan sebarang risiko terhadap kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan sensitif sosial iaitu mengurangkan impak serta risiko berlakunya pencemaran alam sekitar mahupun menjejaskan aktiviti sumber air mentah, risiko terhadap penduduk serta kawasan berkepentingan.

    5. Namun, pada masa ini Kerajaan Negeri masih berpegang kepada keputusan iaitu jajaran pilihan terbaik adalah melibatkan jajaran Seksyen C yang melalui Kuala Langat hingga ke Pelabuhan Barat. Walau bagaimanapun, susulan daripada sembah mengadap dan taklimat kepada DYMM Sultan Selangor pada 1 September 2020 yang bersetuju untuk memberi ruang kepada pihak Kerajaan Persekutuan membuat penelitian terhadap cadangan pindaan jajaran asal yang dikenali sebagai ECRL 3.0 supaya analisa terperinci dapat dijalankan untuk pertimbangan Kerajaan, khususnya terhadap impak ekonomi ke atas cadangan laluan tersebut mampu memberikan kesan positif dalam membangunkan sektor-sektor ekonomi di kawasan-kawasan terlibat pada masa akan datang dan meningkatkan lagi pelaburan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.