Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

176) PROJEK LEBUHRAYA DI SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Dasar dan Polisi Kerajaan Negeri amalkan semasa mempertimbangkan suatu permohonan projek lebuhraya yang melibatkan kawasan Selangor?

    Pembinaan lebuhraya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Jadual Kesembilan Senarai I – Senarai Persekutuan). Walau bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam hal ehwal tanah dan pengurusan Kerajaan Tempatan (Jadual Kesembilan Senarai II – Senarai Negeri) serta pengimbangan kuasa antara Persekutuan dan Negeri dalam hal perancangan bandar dan desa (Jadual Kesembilan Senarai III – Senarai Bersama) .

    Berdasarkan peruntukan kuasa yang diberikan, Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 1/2015 bertarikh 12 Februari 2015 telah membuat ketetapan supaya projek-projek pembangunan infrastruktur seperti pembinaan lebuhraya, LRT, MRT, Rel Berkelajuan Tinggi, Talian Voltan Tinggi, Janakuasa dan lain-lain projek yang berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar serta penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Perancang Negeri di bawah Seksyen 20(A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Sehubungan dengan itu, tatacara yang digunapakai dalam mempertimbangkan dan meluluskan pembinaan lebuhraya di Selangor selepas tarikh tersebut dibuat melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri selaras dengan peruntukan Seksyen 20(A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

     

    Untuk makluman semua Y.B., pelaksanaan proses rundingan ini dibuat melalui penurunan kuasa oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor (JPNS) kepada Jawatankuasa Teknikal – Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor (JKT-JPNS). JKT-JPNS akan menjalankan proses rundingan melalui arahan Kerajaan Negeri. Proses ini membolehkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengambil maklum dan menyelaras perkara-perkara dasar, peruntukan akta serta syarat-syarat teknikal yang perlu dipatuhi sebelum projek berkenaan dilaksanakan. Hasilnya, pembangunan yang dicadangkan akan dilaksanakan berdasarkan kepada perancangan keseluruhan serta memudahkan kerja-kerja penyelarasan fizikal kelak.

    Antara perkara-perkara yang diambilkira dalam rundingan adalah seperti berikut:

    • Jajaran laluan atau lokasi kemudahan yang mengambilkira faktor zoning, guna tanah, koridor pembangunan, penjanaan ekonomi, kemudahsampaian, kesan kepada alam sekitar, kesan sosial dan pemilikan tanah; dan
    • Pematuhan kepada dasar, peruntukan akta, garis panduan, peraturan dan syarat-syarat teknikal semasa perancangan dan pelaksanaan projek.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.