Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

258) PROJEK PEMBERSIHAN DAN PEMBANGUNAN SUNGAI KLANG

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status kemajuan perlaksanaan projek pembersihan dan pembangunan sungai Kelang setakat ini?

    Pembersihan:-

    Dalam usaha untuk mengawal sampah-sampah, pihak Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pelaksana bagi projek pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG) telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan bermula pada Februari 2016 yang lalu dan sehingga kini, operasi masih diteruskan di sepanjang 56 kilometer jajaran, bermula dari pusat beli-belah Mid Valley (Lembah Klang) hingga muara Sungai Klang. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah dengan memasang tujuh perangkap sampah di semua cabang sungai yang mengalir ke Sungai Klang. Sementara dron digunakan untuk memantau aktiviti pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab,

    Disamping itu, pihak LLSB telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengkalan di The Netherlands iaitu The Ocean Cleanup (TOC) pada April 2019 yang lalu. Objektif utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi pembersihan di Sungai Klang dengan pengaplikasian teknologi terkini daripada pihak TOC iaitu The Interceptor, yang kini sudah mula beroperasi di kawasan Pengkalan Batu, Klang bermula pada pertengahan Ogos 2019. Kerjasama ini juga telah menunjukkan bahawa projek SMG telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

     

    Pembangunan:-

    Dua (2) daripada lima (5) projek pemangkin di bawah fasa 1, Projek Pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG) iaitu projek penambahbaikan Taman Awam Pengkalan Batu dan pembangunan Mangrove Point telah mula dilaksanakan masing-masing pada bulan Julai dan Ogos 2019 yang lalu dan dijangka siap menjelang suku ke-2 tahun 2020. Tiga (3) lagi projek komersil yang lain iaitu pembangunan Grand Bazaar, Cultural Village & Retreat Resort serta projek pemuliharaan bekas tapak pelupusan sampah di Telok Kapas akan bermula menjelang suku-1 tahun 2020. Kelima-lima projek ini akan mewujudkan satu ekosistem perniagaan yang baharu dan kondusif di kawasan-kawasan yang terlibat dan seterusnya akan mengangkat Sungai Klang sebagai kawasan tumpuan pembangunan dan pelancongan yang baharu di Selangor, khususnya di kawasan Klang.

Lampiran

Tiada Lampiran.