Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008

108) PROJEK PEMINDAHAN SETINGGAN

Tahun: 2008

Sesi: 2

Isu: perumahan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapakah masalah setinggan masih belum selesai hingga kini? Sedangkan banyak projek-projek perumahan untuk pemindahan setinggan giat dijalankan. Adakah jumlah rumah-rumah projek pemindahan ini masih belum mencukupi berbanding dengan setinggan-setinggan yang masih ada ?

    Mengikut laporan bancian yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
    masih terdapat seramai 1,197 (2.5%) keluarga setinggan daripada 10 buah
    penempatan setinggan masih berada di atas tapak. Senarai nama penempatan
    setinggan yang masih belum dirobohkan mengikut PBT adalah seperti lampiran berikut.

    Baki setinggan seramai 283 keluarga atau 0.6% masih berada di atas tapak
    kerana urusan pinjaman bank yang belum selesai atau projek RKR yang
    dipadankan kepada mereka yang dijangka siap pada penghujung tahun 2008. Selebihnya 268 keluarga atau 0.6% telah membawa kes ke mahkamah yang mana akan membantutkan pencapaian setinggan sifar kerana tindakan ke atas mereka hanya boleh dibuat selepas keputusan mahkamah diperolehi dan ini adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri terdahulu untuk mengambil sebarang tindakan.

    Jumlah unit rumah kos rendah masih mencukupi untuk ditawarkan kepada
    setinggan-setinggan tersebut. Namun, keengganan dan kelewatan setinggan
    menerima tawaran rumah dan membuat pinjaman bank boleh menyebabkan
    mereka hanya akan ditawarkan ke projek yang agak jauh daripada penempatan asal mereka kerana penjualan rumah perlu diteruskan oleh pemaju bagi mengelakkan kejadian vandalisme terutama rumah yang telah pun siap dan pemaju memerlukan pusingan modal untuk meneruskan komitmen pembangunan projek-projek perumahan yang lain.