Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

55) PROJEK PERUMAHAN BUKIT BOTAK

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan Negeri Selangor bagi membolehkan penduduk-penduduk asal Bukit Botak mampu membuat pinjaman bank dan akhirnya memiliki rumah yang telah lama diidamkan?

    1. Seperti mana Y.Berhormat sedia maklum, Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan cadangan penyelesaian baru bagi penempatan semula setinggan Bukit Botak yang melibatkan seramai 1,406 penduduk yang mana mereka akan ditawarkan rumah semi-D satu tingkat pada harga RM99,000.00 seunit berbanding dengan harga pasaran sekitar RM180,000.00-RM200,000.00 seunit. Bagi memastikan kesemua penduduk setinggan Bukit Botak yang memberi persetujuan dengan cadangan tersebut memperoleh  pinjaman perumahan dan akhirnya memiliki rumah tersebut, Kerajaan Negeri akan mengaturkan satu perjumpaan di antara penduduk dengan bank-bank terlibat bagi menyelesaikan masalah mendapatkan pinjaman perumahan tersebut. Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti beberapa bank yang bersedia memberikan komitmen mereka dalam memberi bantuan pinjaman perumahan kepada mereka yang telah lanjut umur  atau berpendapatan rendah. Satu skim khas yang dikenali  sebagai  Skim  Jaminan  Kredit Perumahan telah diperkenalkan di mana pinjaman perumahan diberikan kepada golongan yang tidak mempunyai bukti pendapatan bulanan yang tetap tanpa mengira jenis pekerjaan. Menerusi skim ini, tempoh pembayaran dilanjutkan sehingga peminjam berusia 65 tahun. Di bawah skim ini, pinjaman 2 generasi boleh dilakukan untuk memanjangkan tempoh pembayaran dan tempoh pembayaran akan dikira berdasarkan usia anak/pewaris sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas dan tiada caj/yuran yang dikenakan kepada peminjam. Secara langsung, ianya akan membantu pembeli memperoleh peluang yang lebih besar untuk memiliki rumah tersebut di samping mengurangkan bebanan dalam membayar semula pinjaman perumahan yang dibuat.

     

     

     

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri menyediakan  opsyen  bagi  penduduk yang gagal atau tidak layak untuk memperolehi pinjaman perumahan yang telah ditawarkan oleh pihak bank. Untuk golongan ini, Kerajaan Negeri bersetuju menawarkan bayaran tunai kepada penduduk berjumlah lebih kurang RM71,000 iaitu perbezaan harga jaminan PKNS sebanyak RM170,000.00 dengan harga kos pembinaan sebanyak RM99,000.00 dan akan dibayar setelah Kerajaan Negeri menerima  semua hasil jualan. Dengan bayaran tersebut, penduduk terlibat boleh membeli/memiliki rumah lain pada harga yang mampu dibeli di pasaran

Lampiran

Tiada Lampiran.