Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

26) PROJEK PERUMAHAN DI ATAS TAPAK BEKAS TIMBUS TANAH (LANDFILL) DI KELANA JAYA

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah cara penyelesaian untuk menyelesaikan masalah projek perumahan di atas tapak bekas timbus tanah (landfill) di Kelana Jaya yang didakwa dibenarkan tanpa kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar Selangor?

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan memastikan sebarang projek perumahan yang dijalankan di atas tapak bekas timbus tanah di Kelana Jaya perlu mematuhi syaratsyarat yang dikemukakan  setelah mengambil kira hasil Kajian Pencemaran Persekitaran dan Geoteknikal daripada Unit Perundangan Universiti Malaya (UPUM) seperti berikut:

    1. Pemaju hendaklah memastikan agar kawasan lapang yang tidak dibangunkan ditutupi dengan ‘biocover system’.
    2. Setiap kawasan permainan kanak-kanak hendaklah ditutup dengan simen atau tile.
    3. Penduduk adalah dilarang sama sekali untuk menanam sebarang tanaman yang boleh dimakan kerana dikhuatiri bahan merbahaya yang terdapat di dalam tanah seperti arsenik, raksa, plumbum dan sebagainya akan diserap oleh tanaman yang ditanam.
    4. Di sepanjang jalan pintu masuk ke kawasan pembangunan, ia hendaklah diperindah dan tidak boleh kelihatan sebarang sisa pepejal.
    5. Sekiranya pihak pemaju ingin menjalankan sebarang pembangunan, ‘hoarding’ hendaklah dipasang bagi mengelakkan sebarang pencemaran berlaku dan mengganggu kejiranan bersebelahan dan persekitarannya.
    6. Memastikan sisa pepejal yang masih terdapat di kawasan tersebut dibuang dan digantikan dengan bahan yang selamat (pasir,tanah) sebelum sebarang pembangunan didirikan di atas tapak tersebut.
    7. Pemaju hendaklah memastikan kerja-kerja pembangunan yang dilakukan oleh pihak kontraktor hendaklah dipantau oleh perunding yang berpengalaman.
    8. Aktiviti pemantau hendaklah dijalankan sepanjang masa iaitu ketika kerja-kerja pemindahan sisa pepejal, kerja tanah serta kerja-kerja pembinaan.
    9. Ketika menjalankan kerja-kerja pemindahan sisa pepejal, kaedah yang sempurna dan selamat perlu diadaptasikan untuk memastikan sebarang pergerakan tanah akibat daripada aktiviti tersebut tidak mendatangkan masalah dan selamat.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.