Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

141) PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil terhadap projek perumahan terbengkalai yang masih belum mempunyai kontraktor ataupun pemaju penyelamat?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah projek terbengkalai di Selangor walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri hanya terhad secara pentadbiran dalam membantu memulihkan projek terbengkalai yang mana kuasa ini pada dasarnya terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta Kemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966.

    Sehubungan itu, beberapa langkah-langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap projek perumahan terbengkalai yang masih belum mempunyai kontraktor ataupun pemaju penyelamat ke arah mengatasi masalah seperti berikut:

    1. Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi/Liquidator, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank terlibat yang mana dipengerusikan oleh saya sendiri telah dilaksanakan secara berjadual sejak tahun 2011 bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini yang diurusetia oleh LPHS juga memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan disamping membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju atau sebaliknya. Setakat ini terdapat 19 projek telah dikenalpasti berpontensi dipulihkan di Negeri Selangor yang terdiri daripada 4 projek sedang dipulihkan oleh pemaju penyelamat atau kontraktor dan 15 projek dalam peringkat perbincangan dan persetujuan semua pihak terlibat dalam perlantikan pemaju penyelamat atau kontraktor.
    2. Mengurusetia perbincangan secara berkala bersama semua jabatan teknikal dengan tujuan mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
    3. Mengatur pertemuan dengan institusi kewangan sebagai pembiaya bagi melihat pendekatan yang sesuai dalam membantu pembeli bagi menstruktur semula pembiayaan titian (bridging loan) supaya projek boleh diteruskan dan seterusnya menyelesaikan maslah kewangan pembeli.
    4. Bagi pemaju-pemaju yang sedang dalam proses atau telah digulung, perbincangan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) juga diatur dari masa ke semasa untuk menyemak sama ada LPHS boleh mencadangkan mana-mana ‘Liquidator’/Pegawai Penerima atau pemaju penyelamat atau kontraktor yang berwibawa bagi mempercepatkan pemulihan semula projek terbengkalai. Sekiranya masih gagal mendapatkan pemaju/konraktor berwibawa yang berminat memulihkan projek berkenaan LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan tersebut kepada KPKT untuk membuat keputusan.
    5. Menilai semula kos pemulihan projek tersebut khususnya bagi projek yang melibatkan kos yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli sekiranya projek itu masih ingin diteruskan.
    6. LPHS juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri tindakantindakan penguatkuasaan yang boleh diambil demi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin. Tindakan perampasan tanah boleh dibuat sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (KTN) dan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 129 Kanun yang sama. Selain itu, pengambilan tanah juga dilaksanakan sebagai usaha membolehkan projek terbengkalai dipulihkan semula dan seterusnya dimajikan secara tender.

Lampiran

Tiada Lampiran.