Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

34) PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik dan menamakan projek - projek perumahan terbengkalai di seluruh Negeri Selangor dan apakah tindakan proaktif Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan kes - kes projek terbengkalai ini ?

    Statistik projek perumahan terbengkalai sehingga 31 Mei 2013 adalah sebanyak 123 projek yang melibatkan 35,111 unit di seluruh Negeri Selangor seperti berikut:

    NO KAWASAN PBT PROJEK

    PERUMAHAN

    PROJEK

    PEMBESARAN KAMPUNG

    JUMLAH PROJEK JUMLAH UNIT
    1 MBSA 9 9 3,561
    2 MBPJ 3 3 1,932
    3 MPK 26 26 2,697
    4 MPSJ 6 6 2,738
    5 MPAJ 8 8 3,282
    6 MPKj 14 14 5,122
    7 MPS 9 1 10 3,148
    8 MPSp 8 8 3,208
    9 MDKS 8 2 10 3,691
    10 MDHS 9 5 14 4,707
    11 MDKlgt 15 15 1,025
    JUMLAH 115 8 123 35,111

    Manakala senarai nama-nama projek perumahan terbengkalai sehingga 31 Mei 2013 di seluruh Negeri Selangor adalah seperti di lampiran 1.

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berusaha mengatasi masalah projek terbengkalai di Selangor walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri hanya terhad secara pentadbiran dalam membantu memulihkan projek terbengkalai yang mana kuasa ini pada dasarnya terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966. Sehubungan itu, beberapa langkah- proaktif telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan kes – kes projek terbengkalai seperti berikut:

    • Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi/Liquidator, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank terlibat yang mana dipengerusikan oleh saya sendiri telah dilaksanakan secara berjadual sejak tahun 2011 bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini yang diurusetia oleh LPHS juga memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan disamping membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. LPHS sebagai agensi pemantauan senantiasa berusaha memastikan projek terbengkalai dapat dipulihkan dan seterusnya disiapkan sehingga Sijil Layak Menduduki diperolehi.
    • Mengurusetia perbincangan secara berkala dengan pemaju terbabit bersama semua jabatan teknikal dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
    • Mengatur pertemuan dengan institusi kewangan sebagai pembiaya bagi melihat pendekatan yang sesuai dalam membantu pemaju-pemaju dan pembeli bagi menstrukturkan semula pembiayaan titian (bridging loan) dan pinjaman akhir (end-financing) supaya projek boleh diteruskan dan seterusnya menyelesaikan masalah kewangan pemaju dan pembeli. Sekiranya masih gagal dan terdapat pemaju/kontraktor berwibawa yang berminat memulihkan projek berkenaan LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan tersebut kepada KPKT untuk membuat keputusan.
    • Bagi pemaju-pemaju yang sedang dalam proses atau telah digulung, perbincangan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) juga diatur dari masa ke semasa untuk menyemak sama ada LPHS boleh mencadangkan mana-mana ‘Liquidator’/Pegawai Penerima yang berwibawa mempercepatkan pemulihan semula projek terbengkalai. Bagi projek-projek yang telah diletakkan di bawah ‘Liquidator’/Pegawai Penerima pula perbincangan dijalankan bersama ‘Liquidator’/Pegawai Penerima terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
    • Menilai semula kos pemulihan dan mengkaji feasibility projek tersebut khususnya bagi projek yang melibatkan kenaikan kos yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli sekiranya projek itu masih ingin diteruskan.
    • Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak di kalangan mereka supaya tindakan yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang terlibat di mana persetujuan untuk memulihkan projek perlu diperoleh daripada sekurang-kurangnya 85% daripada pembeli.
    • Memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang boleh diambil oleh pembeli untuk membawa kes ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah ditadbir melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.
    • LPHS juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri tindakantindakan penguatkuasaan yang boleh diambil demi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin. Tindakan perampasan tanah boleh dibuat sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (KTN) dan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 129 Kanun yang sama. Selain itu, pengambilan tanah juga dilaksanakan sebagai usaha membolehkan projek terbengkalai dipulihkan semula dan seterusnya dimajukan secara tender.

Lampiran

Tiada Lampiran.