Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

226) PROJEK-PROJEK TERBENGKALAI DI DUN TERATAI

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah sasaran Kerajaan Negeri dalam menangani masalah projek-projek terbengkalai di DUN Teratai yang membawa isu ekonomi dan sosial kepada penduduk-penduduk setempat dalam tahun 2014

    Soalan (a) dan (b) akan dijawab bersekali

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat hanya satu projek terbengkalai yang dikenal pasti di DUN Teratai yang terbengkalai iaitu Nusa Mewah Villa Kondominium yang dibangunkan oleh Tetuan Mudi Angkasa Development Sdn Bhd. Projek ini merupakan projek yang telah didaftarkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan no. lesen pemajuan: 8255/06- 2006/718 dan di bawah pemantauan KPKT.

     

    Pembangunan projek ini melibatkan pembinaan dua (2) blok Kondominium 15 tingkat sebanyak 360 unit rumah dengan harga jualan RM132,000.00 seunit dan semua unit telah terjual. Berdasarkan perjanjian jual-beli yang ditandatangani pembeli pada tahun 2001, tempoh siap pembinaan adalah selama 36 bulan daripada tarikh perjanjian yang mana sepatutnya siap pada pertengahan tahun 2004. Namun demikian, projek ini tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual pembangunan yang dirancang disebabkan oleh kenaikan kos pembinaan. Walau bagaimanapun pada 13 Mac 2008, Mahkamah Tinggi telah mengenakan perintah penggulungan ke atas pemaju Mudi Angkasa Development Sdn Bhd dan melantik Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd sebagai pelikuidasi (liquidator).

     

    Bagi membolehkan projek ini dipulihkan semula, pelikuidasi telah mendapat persetujuan daripada Mahkamah untuk melantik pemaju penyelamat iaitu Kamuja Corporation Sdn. Bhd. dengan kos pemulihan keseluruhan sebanyak RM25 juta. Sehubungan dengan itu, pembeli telah ditawarkan 2 pilihan sama ada berminat untuk meneruskan pembinaan dengan dikenakan kos tambahan (top up) sebanyak RM30,700 atau melepaskan unit mereka dengan menerima bayaran balik amaun yang telah dibayar selepas projek siap dengan Sijil Layak Menduduki. Berdasarkan mesyuarat pada 7 November 2013 di KPKT, kemajuan

     

    fizikal bangunan telah mencapai 100% siap manakala kerja infra di tapak masih belum dibina. Walau bagaimanapun, pemaju dalam proses mendapatkan kelulusan dan sokongan daripada jabatan teknikal seperti SYABAS, Tenaga Nasional Berhad, Indah Water Konsortium, BOMBA dan TELEKOM. Pemaju menjangkakan projek ini dapat disiapkan dengan Sijil Layak Menduduki pada 16 Disember 2013.

Lampiran

Tiada Lampiran.