Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

140) PROJEK RUMAH TERBENGKALAI AT- LAW, SG. BULOH

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status projek tersebut?

    Dengan mengambil kira bidang kuasa Kerajaan Negeri yang terhad  dalam membantu memulihkan projek terbengkalai yang mana kuasa ini pada dasarnya terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966. Walaupun begitu, beberapa langkah proaktif telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membantu memulihkan pangsa kos rendah yang terbengkalai. Susulan daripada masalah tersebut, beberapa siri mesyuarat telah diadakan pada 6 Julai 2011, 2 November 2011, 21 Februari 2012, 15 Mei 2012 melalui Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri

    Selangor, Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi / Pelikuidasi, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank terlibat yang mana dipengerusikan oleh saya sendiri bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai tersebut.

    Lanjutan daripada mesyuarat tersebut, pelikuidasi iaitu Mustapha Raj Sdn Bhd telah menganggarkan kos pemulihan semula ke atas 153 unit pangsa kos rendah adalah berjumlah RM8 juta. Oleh kerana pelikuidasi tidak mempunyai sumber dana untuk meneruskan pemulihan projek ini, pihaknya hanya bergantung kepada sumber wang pampasan daripada Kerajaan Persekutuan di atas pengambilan tanah lot PT3 (pemilik tanah Atlaw Sdn Bhd-digulung) bagi projek Stesyen MRT untuk projek Mass Rapid Transit Lembah Klang – Jajaran Sungai Buloh – Kajang. Pada 29 Mei 2012, Sesi Pendengaran Semula antara pelikuidasi dengan  Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Selangor (Persekutuan) telah diadakan dan dijangka keputusan pengambilan tanah tersebut akan mengambil masa di antara 3 sehingga 4 bulan untuk diketahui.

    Selain itu, pelikuidasi juga sedang mendapatkan pengesahan daripada jurutera dan konsultan yang dilantik mengenai kekukuhan bangunan pangsa kos rendah tersebut sebelum proses tender kepada mana-mana kontraktor yang berminat dibuat. Dianggarkan tempoh masa untuk menyiapkan pangsapuri kos rendah ini dengan Sijil Layak Menduduki adalah selama 18 bulan.

    Disebabkan usaha memulihkan projek tersebut masih gagal diselesaikan oleh pelikuidasi, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah Petaling telah mengambil tindakan mengeluarkan Notis 6A iaitu cukai tanah tertunggak pada bulan Mac 2012 bagi tujuan perampasan tanah tersebut. Sekiranya tindakan ini berjaya dilaksanakan, Kerajaan Negeri akan mengambilalih dan memulihkan semula projek tersebut daripada pelikuidasi. Lanjutan daripada itu, JPPT akan terus mengadakan mesyuarat berkala bagi memantau perkembangan projek tersebut dari masa ke semasa sehingga memperolehi Sijil Layak Menduduki.

Lampiran

Tiada Lampiran.