Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

29) PROJEK RUMAH TERBENGKALAI DI PUNCAK ALAM

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Ramai pemilik-pemilik tidak dapat C.F. untuk masuk rumah oleh sebab pemaju. apakah langkah-langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan rekod pentadbiran ini hanya mengenalpasti satu (1) projek yang masih belum siap dibina dengan Sijil Layak Menduduki di Puncak Alam iaitu Projek Alam Mutiara yang dimajukan oleh MZ Development Sdn Bhd manakala pemilik tanah adalah Tetuan Mujur Zaman Sdn Bhd. Pada asalnya, keseluruhan tanah merupakan tanah milikan 712 peneroka melibatkan sebanyak19 hakmilik blok dengan keluasan tanah adalah 718.13 hektar atau 1,774.54 ekar. Melalui Perjanjian Pengurusan antara 712 peneroka dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. yang telah ditandatangani pada tahun 2000 di mana Mujur Zaman Sdn. Bhd. bersetuju membayar pampasan sebanyak RM360,000.00 seorang yang terdiri dalam berbentuk wang tunai sejumlah RM180,000.00 dan sebuah rumah bernilai RM180,000.00.

    Walaubagaimanapun, pemaju MZ Development Sdn Bhd gagal menyiapkan 924 unit rumah teres 2 tingkat yang dimajukan pada tahun 2003 dengan kemajuan kerja ditapak hanya mencapai 10% hingga 20% siap. Pada tahun 2006, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengisytiharkan projek ini sebagai Projek Terbengkalai. Namun pada 15 Februari 2012, Pemaju MZ Development Sdn Bhd telah dikenakan perintah penggulungan oleh Mahkamah dan melantik Jabatan Insolvensi Selangor sebagai pelikuidasi.

    Berikutan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dalam usaha memulihkan semula projek ini melalui tindakan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 ke atas tanah milikan Mujur Zaman Sdn Bhd. Pada 11 Oktober 2012, Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah mewartakan cadangan pengambilan tanah terlibat untuk tujuan pengambilan tanah.Walaubagaimanapun, usaha untuk meneruskan proses pengambilan tanah ini terpaksa ditangguhkan disebabkan atas Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 3 Disember 2012 untuk semakan semula kehakiman yang dibuat oleh pemohon iaitu Mujur Zaman Sdn Bhd. Lanjutan daripada beberapa kes perbicaraan diadakan, Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor masih menunggu tarikh perbicaraan baru oleh Mahkamah Rayuan yang akan diadakan pada 05 Januari 2015 bagi memutuskan keputusan sama ada tindakan pengambilan tanah boleh diteruskan atau dibatalkan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri masih tidak boleh berbuat apa-apa ke atas tanah tersebut termasuk meneruskan proses pengambilan tanah dan seterusnya bagi kerja-kerja pemulihan sehingga Mahkamah membuat keputusan muktamad.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.