Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

46) PROJEK TEBATAN BANJIR SUNGAI PELEMPAS KAMPUNG MELAYU SUBANG (DESA SUBANG PERANTAU)

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bolehkan Kerajaan pertimbangkan permohonan rayuan penduduk Desa Subang Perantau agar jajaran tebatan banjir dialih agar perobohan rumah-rumah (19 unit) yang terlibat dapat dielakkan sementara projek dapat diteruskan?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran sedang melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Kg Melayu Subang Di Sungai Pelempas Dan Lain-Lain Kerja Berkaitan Di Daerah Petaling Fasa 1. Projek ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan masalah banjir di kampung Melayu Subang, Kampung Subang Perantau, Taman Subang Perdana, Kampung Subang Ehsan, Jalan Jati dan kawasan di sepanjang jajaran projek. Di dalam perlaksanaan projek ini, Kerajaan Negeri telah membuat kerja pengambilan balik tanah yang melibatkan 19 lot dengan kos sebanyak RM13.46 juta. Selain daripada itu, terdapat beberapa binaan telah dibina di atas tanah rizab sungai.  Semua bayaran untuk pengambilan balik tanah telah diselesaikan pada tahun 2019 dan usaha sedang dilaksanakan untuk mengeluarkan penduduk yang berada di dalam tanah rizab JPS.

    Projek ini terpaksa diberi tiga (3) kali lanjutan masa disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan tidak dapat dibuat kerana halangan binaan-binaan di rizab sungai. Projek ini telah bermula pada 13 April 2016 sehingga 26 Februari 2020. Punca utama kelewatan penyiapan projek adalah proses pengambilan balik tanah (telah selesai) dan kekangan melaksanakan perobohan struktur yang terdapat di dalam ROW projek. Kerajaan Negeri tidak dapat menimbangkan permohonan perubahan jajaran projek berhampiran Desa Subang Perantau dan Notis pertama telah dikeluarkan pada 9.11.2016. Notis kedua dijangka akan dikeluarkan pada bulan Disember 2019 untuk tujuan perobohan struktur haram.

Lampiran

Tiada Lampiran.