Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

138) PROJEK TERBENGKALAI

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan usaha Kerajaan untuk membantu pembeli-pembeli rumah di Bahagia Indah Court yang telah terbengkalai selama beberapa tahun.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Projek Taman Bahagia Indah, Mukim Cheras, Daerah Hulu Langat yang dibangunkan oleh Tetuan Bahagia Indah Properties Sdn. Bhd. adalah merupakan projek yang telah dikategorikan sebagai projek sakit oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Selangor dan di bawah pemantauan pihak KPKT. Pembangunan projek ini melibatkan 150 unit rumah pangsapuri kos sederhana rendah 16 tingkat yang mana telah dimula pada tahun 2002 dan sepatut siap 2005. Disebabkan berlaku kelewatan  projek,  beberapa  siri  mesyuarat  telah  diadakan  di  KPKT  pada  15 Oktober 2012, 12 Jun 2013, 02 September 2013 dan 26 Mei 2014 bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Pejabat Tanah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang, pemaju dan agensi teknikal berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian ke arah penyiapan projek ini. Sehingga kini, kemajuan kerja di tapak telah mencapai 80% siap.

     

    Berdasarkan mesyuarat pada 2 September 2013 di KPKT, pihak pemaju menjelaskan bahawa Perintah Mahkamah pada 17 Disember 2012 telah diputuskan supaya pemaju meneruskan semula projek ini untuk disiapkan. Walaubagaimanapun, pemilik tanah iaitu Persatuan Penganut Suci Hang (2) Kuala Lumpur / Selangor [PSH2] telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan daripada projek ini diteruskan. Ini disebabkan oleh pelanggaran syarat Perjanjian yang dimeterai oleh pemaju dengan PSH2 dimana pemaju telah mencagarkan tanah ini kepada pihak bank tanpa kebenaran pemilik tanah. Sehubungan itu, perkara ini telah dibawa kepada Mahkamah Rayuan maka kerja-kerja pemulihan semula projek akan dilaksanakan setelah Mahkamah membuat keputusan.

     

     

     

    Dalam situasi ini, Kerajaan Negeri hanya dapat membantu pembeli dalam memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang boleh diambil dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik. Selain itu, pembeli juga boleh mengambil tindakan perundangan kepada pemaju dengan membawa kes mereka ke Mahkamah sekiranya berlaku “breach of contract” dalam Perjanjian Jual-Beli di antara pemaju dan pembeli.

Lampiran

Tiada Lampiran.