Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

97) PROJEK TERBENGKALAI DI SELAYANG

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini projek terbengkalai di selayang? Bilakah ianya dapat diteruskan kerana pembeli telah menunggu hampir 10 tahunÉ.projek ini akan menjadi satu kelebihan / mileage bagi pakatan rakyat jika ianya dapat dipulihkan

    Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, projek terbengkalai yang dimaksudkan
    di Selayang merupakan projek penempatan semula setinggan Bukit Botak yang
    dikenali sebagai Taman Selayang Mutiara. Berdasarkan status terkini projek
    tersebut, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah Gombak telah menjalankan
    siasatan terhadap pihak berkepentingan ke atas 1,002 hak milik di Bukit Botak bagi
    tujuan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Setakat ini,
    siasatan pengambilan tanah telah dijalankan melibatkan seramai 496 pemilik tanah
    yang mana Borang G & H iaitu memaklumkan dan menawarkan bayaran pampasan
    telah dikeluarkan kepada pihak berkepentingan manakala baki seramai 506
    penduduk masih belum hadir untuk siasatan. Setelah proses keseluruhan tanah
    milikan penduduk Bukit Botak dibuat pengambilan dan diwartakan sebagai tanah
    kerajaan maka usaha memulihkan projek ini dapat dilaksanakan. Adalah
    dijangkakan kerja-kerja pembinaan di tapak akan dijalankan pada awal bulan
    November 2010 setelah proses lantikan kontraktor oleh PKNS dibuat pada bulan
    Julai 2010 menerusi pemilihan kontraktor secara tender terbuka.
    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah menawarkan 3 pilihan
    kepada penduduk Bukit Botak dalam membangunkan semula penempatan setinggan
    Bukit Botak yang terdiri daripada opsyen 1 iaitu bersetuju memiliki rumah pada
    rezab harga RM 99,000-00 tidak termasuk kos pembinaan RM 12,300-00 dan
    opsyen 2 iaitu bersetuju menerima bayaran tunai berjumlah lebih kurang RM71,000-
    00 iaitu perbezaan harga jaminan PKNS sebanyak RM170,000-00 dengan rezab
    harga rumah sebanyak RM99,000-00 tidak termasuk kos pembinaan RM 12,300-00.
    Manakala opsyen 3 iaitu penduduk menolak tawaran opsyen 1 & 2 dan hanya
    menerima bayaran pampasan pengambilan tanahi sepertimana yang telah
    ditetapkan dalam Borang G & H yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah. Sehingga kini,
    seramai 1,251 penduduk Bukit Botak telah bersetuju dengan tawaran Kerajaan
    Negeri bagi opsyen 1 dan opsyen 2, manakala opsyen 3, tiada sebarang
    permohonan untuk pilihan ini dibuat.

    Selain itu, penduduk Bukit Botak juga tidak perlu khuatir atau bimbang dengan
    pembangunan yang dirancangkan ini, memandangkan pembangunan projek ini
    menggunapakai konsep Bina Kemudian Jual. Sebanyak 1,422 unit rumah semi-D
    akan dibina oleh kontraktor yang dilantik PKNS dengan tawaran pembelian rumah
    kepada semua penduduk Bukit Botak setelah rumah tersebut siap dibina dengan Sijil
    Layak Menduduki (CF). Menerusi konsep tersebut, penduduk Bukit Botak secara
    langsung tidak dibebani dengan kos tambahan bagi bayaran bulanan pinjaman
    perumahan daripada bank atau pembiaya bersama bayaran sewaan rumah yang
    perlu dibayar setiap bulan. Selain itu, penduduk juga tidak perlu menanggung lainlain kos seperti kos perjanjian jual-beli, kos guaman, kos pindah milik, duti setem
    dan lain-lain kos berkaitan yang mana kos tersebut termasuk dalam pembelian
    rumah berharga RM 99,000-00 tidak termasuk dengan kos pembinaan sebanyak
    RM 12,300-00. Usaha ini akan membantu dalam meringankan beban dan
    tanggungan kos oleh penduduk Bukit Botak di samping jaminan daripada Kerajaan
    Negeri dalam menyiapkan projek tersebut mengikut jadual perancangan.
    Keseluruhan projek ini akan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mac 2012 bagi
    menempatkan 1,406 penduduk setinggan Bukit Botak dan seterusnya menjadikan
    projek ini sebagai satu tanda kejayaan kepada Kerajaan Negeri dalam usaha
    memulihkan projek terbengkalai di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.