Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

122) PROMOSI LOKASI PELANCONGAN

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam usaha untuk membantu mempromosikan tempat-tempat atau lokasi-lokasi menarik yang terdapat di DUN Taman Templer sebagai lokasi pelancongan untuk dilawati pengunjung dalam atau luar negara?

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN telah merancang dan menjalankan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Selangor serta menaikkan imej Negeri Selangor dalam bidang pelancongan. Pelaksanaan merancakkan ekonomi dan mempromosikan produk pelancongan tidak tertakluk kepada sesuatu kawasan DUN dan ianya dijalankan secara keseluruhan mengikut pecahan Daerah dan PBT. Beberapa kawasan pelancongan yang sedang dipromosikan adalah seperti, Taman Eko Rimba Kanching, Taman Eko Rimba Komenwel, Taman Eko Rimba Templer, Templer Park Country Club dan Bukit Anak Takun.

    Antara perancangan dan usaha yang telah dirangka yang telah dan akan dilaksanakan adalah seperti berikut:-

    i) Penganjuran Program Promosi Pelancongan Domestik
    Bagi meningkatkan kedatangan pelawat dan pelancong ke negeri Selangor program promosi domestik ditekan kepada masyarakat dan penduduk di Malaysia dalam kepelbagaian program promosi seperti MATTA Fair, E- MITA Fair Program Promosi Jelajah Negeri dan Skuad Kembara Sekolah mengikut SOP Covid -19 terkini dan kebenaran daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara)

    ii) Penganjuran Program FAM Trip (Familiarization Trip)
    Tourism Selangor bekerjasama dengan pihak Berkuasa Tempatan (PBT), penggiat industri pelancongan serta produk-produk pelancongan di Negeri Selangor untuk menganjurkan sesi lawatan tapak atau FAM Trip bersama dengan agensi pelancongan untuk meningkatkan penjualan pakej pelancongan untuk para pelancong dan agensi media tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan publisiti ke peringkat global mengikut jadual.

    iii) Penjenamaan Semula Laman Sesawang Rasmi Tourism Selangor iaitu Selangor.Travel
    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah mengambil langkah proaktif bagi memperbaharui laman sesawang rasmi Tourism Selangor dengan konsep, reka bentuk dan fungsi-fungsi baharu sesuai dan selari dengan permintaan industri dan gaya pelancongan masa kini. Negeri Selangor merupakan negeri yang pertama di Malaysia yang menggunakan pautan ‘hosting’ dot Travel selepas Tourism Malaysia bagi laman sesawang ‘Malaysia.Travel’. Hal ini selari dengan pelan strategik Tourism Selangor dalam memperbanyakkan kempen promosi melalui platform digital dan online bagi mempromosikan produk pelancongan Negeri Selangor ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

    iv) Penganjuran Acara Pelancongan di Negeri Selangor
    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah menyusun kalendar penganjuran acara pelancongan sepanjang Tahun. Dengan penganjuran acara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung ke Negeri Selangor bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk menginap, membeli-belah, melawat tempat-tempat menarik yang ada ni sekitar kawasan penganjuran acara tersebut seterusnya meningkatkan ekonomi setempat. Penganjuran acara pelancongan peringkat negeri dan antarabangsa ini juga merupakan kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

    v) Penambahbaikan Sistem Pengumpulan Data Statistik Pelancongan Negeri Selangor
    Bagi memantapkan industri pelancongan negeri Selangor, Kerajaaan Negeri sedang dalam proses untuk membuat penambahbaikan terhadap Sistem Pengumpulan Data Statistik yang mana Sistem ini akan menghasilkan satu Pelaporan Statistik Pelancongan yang lebih menyeluruh dengan kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan dan penggiat industri pelancongan di negeri Selangor khususnya. Penambahbaikan ini yang juga merupakan salah satu daripada strategi Program Pemurnian Pelancongan (P3S) yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri pada 08 Julai 2019 yang lalu yang bertujuan agar data tersebut dapat digunakan bagi membantu di dalam menggubal dasar dan merangka pelan tindakan untuk mengenalpasti dan menarik pelaburan pelancongan ke kawasan-kawasan yang berpotensi. Di samping itu, data tersebut juga boleh digunakan untuk membangunkan produk dan pakej mengikut acuan sendiri (customized) atau berteraskan keperluan pasaran bagi menarik lebih ramai pelancong.

    vi) Penganjuran Kempen Promosi Pelancongan dan Pengiklanan Pelancongan Negeri.
    Bagi memastikan impak dan tumpuan industri pelancongan negeri terus dipacu, Kerajaan Negeri komited melancarkan beberapa kempen promosi seperti “Pusing Selangor Dulu” dan “Splendid Selangor”. Kerajaan Negeri juga akan memperkasakan kempen pengiklanan di media cetak dan elektronik di peringkat domestik dan antarabangsa bagi memastikan kempen promosi pelancongan mempunyai nilai pulangan ROI (Return of Investment) yang tinggi dan berkesan.

Lampiran

Tiada Lampiran.