Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

56) PROSES KUATKUASA KEPUTUSAN MESYUARAT EXCO

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan sedar ada tempuh masa yang agak lama antara keputusan EXCO dengan perlaksanaan kuatkuasa di peringkat Kerajaan/Jabatan/PBT?

    Untuk makluman setiap perkara yang dibawa untuk pertimbangan MMKN akan mengambil masa dua (2) minggu untuk diperolehi oleh agensi/jabatan yang berkenaan kerana perlu melalui proses pembentangan dan pengesahan oleh MMKN. Setelah kedua-dua proses ini selesai Unit MMKN akan mengeluarkan cabutan minit/keputusan hanya kepada agensi yang bertanggungjawab dan hanya boleh diambil oleh pegawai yang telah dipertanggungjawabkan. Proses ini hendaklah dipatuhi kerana setiap keputusan MMKN adalah bertaraf RAHSIA dan perlu dipelihara setiap masa. Setelah sesebuah jabatan menerima cabutan minit/keputusan MMKN barulah pelaksanaan di peringkat jabatan dapat dimulakan.

    Walau bagaimanapun, bagi keputusan yang penting ia akan dimaklumkan semasa Mesyuarat Post-Exco yang dipengerusikan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Mesyuarat MMKN pada hari yang sama. Oleh yang demikian, agensi/jabatan yang berkenaan boleh membuat persediaan awal pelaksanaan keputusan MMKN tanpa perlu menunggu keputusan MMKN yang telah disahkan. Selain itu, agensi/juga boleh memohon kepada Unit MMKN untuk mendapatkan Keputusan Dasar MMKN yang belum disahkan selepas Mesyuarat Post-Exco.

    Pelaksanaan penguatkuasaan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di peringkat agensi/jabatan kadangkala mengambil masa bergantung kepada kompleksiti sesuatu keputusan tersebut. Ini kerana setiap jabatan perlu memastikan keputusan MMKN dilaksanakan mengikut peraturan dan undang- undang yang sedang berkuat kuasa bagi mengelakkan masalah-masalah lain timbul semasa pelaksanaan di peringkat akar umbi.

Lampiran

Tiada Lampiran.