Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

216) PROSPEK EKONOMI NEGERI 2020

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah prospek ekonomi Selangor di tahun 2020?

    Sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, Kerajaan Negeri bertekad untuk meneruskan momentum pertumbuhan dan memastikan hala tuju pembangunan negeri tidak tersasar. Era baru pasca 2020 akan membawa peluang dan cabaran berikutan perubahan demografi secara global. Konurbasi utama bandar seperti Lembah Klang akan terus menjadi pusat utama aktiviti ekonomi dan sosial serta pusat tumpuan bakat dan syarikat terkemuka antarabangsa.

    Menyorot kembali prestasi cemerlang ekonomi Negeri Selangor sejak tahun 2011 sehingga 2015, pertumbuhan KDNK negeri menunjukkan kadar yang memberangsangkan dengan peningkatan peratusan sumbangan KDNK dari 21.7% pada tahun 2011 sehingga 22.6% pada tahun 2015.

    Prestasi Ekonomi Negeri Selangor 2011 – 2015

    Tahun Sumbangan kepada KDNK Negara Peratus Perubahan Tahunan KDNK (%)
    RM Juta % Selangor Malaysia
    2011 187,434 21.7 5.5 5.3
    2012 200,906 22.0 7.2 5.5
    2013 212,645 22.3 5.8 4.7
    2014 226,964 22.4 6.7 6.0
    2015 239,968 22.6 5.7 5.0

    Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia

    Pertumbuhan KDNK negeri juga berjaya mengatasi KDNK negara setiap tahun pada kadar yang membanggakan. Pada tahun 2012, KDNK negeri mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.2%, perbezaan pertumbuhan sebanyak 1.7% berbanding pertumbuhan negara yang hanya mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5% pada tahun tersebut. Pertumbuhan yang konsisten setiap tahun ini dipacu oleh fundamental yang kukuh dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK Negeri Selangor. Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri akan terus memantapkan sektor utama ini bagi memastikan keupayaan sebenar dapat dicapai bagi menjana ekonomi negeri menjelang tahun 2020.

    Dari segi demografi penduduk, Selangor mencatatkan bilangan penduduk tertinggi berbanding penduduk di negeri lain di Malaysia dari tahun 2011 sehingga 2016. Unjuran daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2017 adalah seramai 32,100,000 orang. Daripada jumlah tersebut, hampir 20% adalah penduduk di Selangor dengan jumlah seramai 6,380,800 orang.

     Bilangan Penduduk Malaysia dan Selangor 2011 – 2017

    Tahun Malaysia Selangor Peratus Penduduk

    Selangor di

    Malaysia (%)

    2011 29,062,000 5,600,300 19.3
    2012 29,510,000 5,668,800 19.2
    2013 30,213,700 5,725,300 18.9
    2014 30,708,500 6,051,300 19.7
    2015 31,200,000 6,178,000 19.8
    2016 31,700,000 6,298,400 19.9
               2017 e 32,100,000 6,380,800 19.9

     Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia  Nota : Unjurane

    Jumlah kepadatan penduduk ini menunjukkan Negeri Selangor menjadi tumpuan utama untuk didiami dan dijadikan lokasi bagi menjana sumber pendapatan ekoran daripada kestabilan ekonomi dan pembangunan serta kemudahan yang telah tersedia.

    Melihat kepada kepadatan penduduk tersebut, tidak hairanlah kebanyakan projek pembangunan infrastruktur dan pengangkutan awam oleh Kerajaan Persekutuan juga tertumpu di negeri ini terutamanya di Lembah Klang.

    Pelaburan-pelaburan dalam bentuk infrastruktur dipusatkan di kawasan tersebut bagi menampung keperluan rakyat yang menginginkan kemudahan yang lancar di samping memenuhi permintaan peniaga-peniaga yang memerlukan sistem pangangkutan kondusif bagi menjalankan aktiviti perniagaan. Antara projekprojek infrastruktur yang sedang dibangunkan di dalam Negeri Selangor adalah:

    • Mass Rapid Transit (MRT);
    • Light Rail Transit (LRT); dan
    • Bus Rapid Transit (BRT)

    Projek-projek berskala besar ini akan menjadi nadi sistem pengangkutan yang menghubungkan lokasi-lokasi utama merentasi sempadan daerah di Negeri Selangor. Setelah siap dibangunkan, Kerajaan Negeri percaya semua projek ini akan membantu melancarkan projek-projek penjanaan ekonomi di Negeri Selangor dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dalam segenap sektor menjelang 2020.

    Negeri Selangor yang telah dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas yang sempurna di kebanyakan bandar, merupakan tarikan utama bagi pelaburpelabur di dalam dan luar negeri. Selangor menjadi destinasi pelaburan yang menarik berikutan usaha yang berterusan dari kerajaan negeri dalam menyediakan persekitaran kondusif serta mesra perniagaan.  Perkembangan ini ditunjukkan melalui peningkatan dalam pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjumlah RM7,963.8 juta pada tahun 2015 berbanding RM7,042.3 juta pada tahun 2014. Peningkatan sebanyak 13.1% iaitu sebanyak RM921.5 juta ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam pelaburan pembuatan dalam barangan domestik iaitu sebanyak 17.0% atau sebanyak RM5,175.6 juta. 53.0% pelaburan di Selangor dikuasai oleh pelabur tempatan dan selebihnya iaitu 47.0% dari pelaburan asing (FDI). Pelaburan domestik mencatatkan peningkatan sebanyak 9.0% menjadi RM4,182.5 juta berbanding tahun sebelumnya. Walaupun berdepan dengan persekitaran luar yang mencabar ekoran dari kemelesetan ekonomi dunia dan penyusutan nilai matawang serantau, Selangor terus berjaya menarik aliran masuk pelaburan asing (FDI). Pada tahun 2015, pelaburan langsung asing di Negeri Selangor dicatatkan lebih tinggi dari tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 18.0% menjadikan nilai keseluruhan berjumlah RM3,781.3 juta. Berbekalkan keyakinan ke atas aktiviti pelaburan, Kerajaan Negeri akan memberi fokus ke arah pembangunan ekonomi melalui pelaburan berimpak tinggi yang dijangka akan menjadi pemangkin dan penggerak utama ekonomi Negeri Selangor pada masa akan datang.

    Bagi memastikan Negeri Selangor kekal sebagai penyumbang utama kepada KDNK negara, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi seperti berikut:

    • Menjadikan integriti, ketelusan, urus tadbir yang baik dan institusi yang berwibawa sebagai asas utama pembangunan ekonomi Negeri Selangor;
    • Menumpukan kepada daya saing kualiti dan memberi tumpuan kepada meningkatkan produktiviti sub sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sedia ada;
    • Memanfaatkan pelaburan asing (FDI) yang telah ada untuk mewujudkan value creation (penciptaan nilai) bagi melonjak ekonomi Negeri Selangor ke tahap yang lebih tinggi;
    • Memberikan lebih perhatian kepada industri kecil dan sederhana (IKS) bagi tahun yang akan datang dengan mewujudkan inisiatif khusus agar pelaburan domestik dapat dipelbagaikan bagi memperkukuhkan asas ekonomi Negeri Selangor; dan
    • Merangka strategi untuk membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan di Negeri Selangor bagi mengurangkan impak sosio-ekonomi.

    Kerajaan Negeri komited untuk menggunakan pendekatan perkongsian kekayaan sama rata melalui konsep Ekonomi Peduli Rakyat. Negeri Selangor perlu kekal progresif dan inklusif selaras dengan aspirasi rakyat. Kerajaan Negeri percaya pembangunan negeri tidak boleh hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi dan kepenggunaan, malah perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat, kualiti hidup, kesaksamaan sosial, kemampanan, struktur ekonomi serta daya tahan dan kualiti tenaga kerja. Keupayaan modal insan akan dioptimumkan bagi meningkatkan produktiviti secara maksimum. Strategi tersebut akan dilaksanakan bagi merapatkan kesenjangan ekonomi rakyat kaya dan miskin di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri juga percaya masa hadapan Negeri Selangor bergantung kepada perpaduan rakyat yang utuh dalam kepelbagaian dan berkongsi nilai serta aspirasi yang sama. Rakyat Selangor perlu memiliki kepelbagaian kemahiran yang relevan. Ciri-ciri ini akan memastikan Negeri Selangor melonjak lebih jauh sebagai sebuah negeri maju dari sudut ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.