Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

158) PUSAT HIBURAN, PUSAT SIBER, PUSAT PENJAGAAN KESIHATAN DAN HOTEL BAJET

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan definisi sebenar Pusat Hiburan, Pusat Siber, Pusat Penjagaan Kesihatan seperti rumah urut dan Hotel Bajet mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Definisi Pusat Hiburan, Pusat Siber, Pusat Penjagaan Kesihatan seperti rumah urut dan Hotel Bajet mengikut Pihak Berkuasa Tempatan adalah seperti berikut:

    • Berdasarkan Bahagian 1 Seksyen 2 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1995 (pindaan 2001) mendefinasikan ‘Pusat Hiburan’ adalah termasuk:-
    • Lakonan, opera, pantomim, lakonan anekaragam, persembahan muzik, nyanyian, tarian gimnastik, pertunjukan seni mempertahankan diri, gerak akrobatik dan silap mata, pertandingan kecantikan, tablo, tunjuk cara, peragaan dan pawai, yang dalamnya orang-orang hidup mengambil bahagian;
    • Pertunjukan bunga api, alatan set, perhiasan peringatan dan rupaan makhluk-makhluk benar atau khayalan;
    • Sarkas dan pemeran binatang;
    • Pameran model, bahan bacaan, gambar, fotograf, ukiran atau rupaan patung atau rupaan-rupaan lain berbentuk manusia atau binatang;
    • Pameran filem sinematograf, wayang gambar video dan pertunjukan boneka;
    • Reproduksi atau siaran, dengan apa-apa cara jua pun selain daripada telefoni atau telefoni radio, bagi apa-apa muzik, lagu atau ucapan, selain daripada yang berkaitan dengan sesuatu filem sinematograf;
    • Mesin dan peranti yang, jika dimanipulasi memberikan peluang untuk memenangi hadiah-hadiah dalam bentuk wang atau barang;
    • Meja pin dan permainan video;
    • Apa-apa jenis pertandingan sukan antara apa-apa bilangan orang atau binatang;
    • Pertandingan terancang bagi permainan kemahiran atau nasib;
    • Pesta perdagangan, pertanian atau industri yang terdiri daripada pameran, iklan atau jualan hasil atau bahan-bahan;
    • Apa-apa kombinasi mana-mana bentuk hiburan yang tersebut di atas; atau
    • Apa-apa hiburan lain yang diisytiharkan oleh Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa melalui perintah dalam warta, di mana-mana tempat yang orang ramai dibenarkan memasukinya dengan atau tanpa bayaran wang atau apa-apa balasan lain;

    Berdasarkan Bahagian 1 Seksyen 2 Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber 2007 mendefinasikan ‘Pusat siber’ ertinya premis berlesen yang menyediakan kemudahan komputer untuk melayari internet.

    • Berdasarkan Seksyen 2 (Tafsiran) Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2007 mendefinasikan ‘Pusat penjagaan kesihatan’ ertinya mana-mana permis yang digunakan untuk memberikan urutan, rawatan atau latihan kecergasan fizikal dengan atau tanpa peralatan.
    • Bahagian 1 Seksyen 2 (Tafsiran) Undang-Undang Kecil Hotel 2013 mendefinasikan ‘Hotel’ ertinya mana-mana premis di mana:
    • Orang-orang diberi tempat berlindung atau menginap untuk apa-apa jenis sewa atau ganjaran; atau
    • Bilik-bilik dilengkapi oleh pemunya, penerima pajak, penyewa utama, penghuni atau pengurus premis itu untuk kegunaan domestik bagi orang yang diberi tempat perlindungan atau menginap itu;
    • Termasuklah asrama (kecuali yang ditafsirkan di bawah butiran 2 atau motel, rumah tumpangan, rumah penginapan atau rumah tetamu;

Lampiran

Tiada Lampiran.