Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

79) PUSAT JAGAAN KANAK-KANAK DI PREMIS KERAJAAN

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk mengadakan pusat jagaan kanak-kanak atau bayi di premis kerajaan bagi membantu ibu bapa yang tidak mampu menggaji pembantu rumah atau menghantar anak-anak mereka di pusat-pusat jagaan kanak-kanak dan bayi swasta

    Menurut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Pindaan ) 2007, di bawah Pindaan
    Seksyen 5 telah dinyatakan perihal taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja. Ini
    bermaksud majikan samada sektor awam ataupun swasta dibolehkan untuk
    menubuhkan taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing.
    Walaubagaimanapun dari segi perlaksanaan operasi ianya terpulang kepada pihak
    majikan samada hendak mengendalikan sendiri sepenuhnya ataupun membuka peluang
    kepada pengusaha taska swasta untuk mengendalikan taska di dalam kawasan tempat
    kerja mereka.
    Bagi menggalakkan penubuhan taska tempat kerja di sektor awam, Ketua Setiausaha
    Perbendaharaan melalui surat edaran kepada semua pegawai pengawal bertarikh 23
    Mac 2007 ( ruj : B(26.00)202-6 ) telah mengumumkan penambahan amaun geran
    pelancaran bagi penubuhan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di tempat kerja sektor
    awam selaras dengan pengumuman Bajet 2007 dari RM50,000 kepada RM80,000.
    Geran pelancaran ini disediakan kepada setiap Kementerian / Jabatan dengan syarat :
    i. Geran ini merupakan one-time grant untuk tujuan menampung kos ubahsuai
    ruang dan pembelian peralatan / perkakas;
    ii. Geran ini tidak boleh digunakan untuk kos operasi; dan
    iii. Urusan penubuhan TASKA telah dipersetujui oleh Pihak Berkuasa yang
    berkaitan.
    Disamping itu juga merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2007 –
    Pemberian Subsidi Yuran Pengasuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak Di Tempat Kerja
    Sektor Awam, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meluluskan pemberian
    subsidi yuran pengasuhan taska di tempat kerja sektor awam kepada pegawai
    Perkhidmatan Awam yang pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,000 sebulan dan
    menghantar anak mereka ke taska di tempat kerja sektor awam mengikut kadar yuran
    sebenar atau maksimum RM180.00 sebulan bagi seorang anak, dibayar terus kepada
    pengusaha taska oleh agensi dimana pegawai berkhidmat. Sekiranya yuran tersebut
    melebihi RM180.00 baki selebihnya ditanggung oleh pegawai berkenaan.
    Walaubagaimanapun sehingga kini kedua-dua pekeliling ini hanya terpakai bagi
    Kerajaan Persekutuan sahaja. Namun begitu terdapat juga Kerajaan Negeri yang telah
    bersetuju untuk mengikuti dan menggunapakai garis panduan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.