Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
35) PUSAT KEBUDAYAAN INDIA
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Hal Ehwal Selain Islam
Adun: Y.B. Tuan Dr Xavier Jayakumar A/l Arulanandam
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status perancangan untuk mewujudkan Pusat Kebudayaan India?
Pusat Kebudayaan India adalah salah satu daripada tiga buah pusat kebudayaan yang dirancang di dalam pembangunan Pusat Kebudayaan Melayu, Cina dan India oleh Kerajaan Negeri.
Semenjak sidang Dewan yang lalu, Kerajaan Negeri telah menjalankan usaha yang proaktif dalam usaha mengenal pasti permasalahan dan langkah yang perlu diambil bagi memastikan hasrat mewujudkan Pusat Kebudayaan Melayu, Cina dan India ini menjadi kenyataan.
Hasil kerjasama yang telah diberikan daripada semua pihak, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Pusat Kebudayaan Negeri pada 15 Julai 2015 yang lalu yang akan dipengerusikan bersama oleh Y.B Tuan Amirudin Bin Shari yang mewakili Pusat Kebudayaan Melayu, Y.B Dato’ Teng Chang Khim yang mewakili Pusat Kebudayaan Cina dan Y.B Tuan Ganabatirau Veraman yang mewakili Pusat Kebudayaan India.
Jawatankuasa Pemandu ini terdiri daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK), Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Parit dan Saliran Negeri Selangor (JPS) manakala Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) bertindak selaku Urus setia.
Buat masa ini, Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti tanah-tanah yang terlibat dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Klang di mana pada masa yang sama terdapat beberapa perkara berkaitan perundangan, pemilikan dan pembangunan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu memandang lokasi tanah-tanah yang telah dikenal pasti terletak di kawasan pembangunan dan kediaman sedia ada.
Bagi memastikan perancangan Pusat Kebudayaan Melayu, Cina dan India ini mengikut perancangan asal seperti yang telah dirancang terdahulu, Kerajaan Negeri juga masih dalam usaha mengumpulkan semula blueprint pelan pembangunan asal daripada pihak yang terlibat. Pada masa yang sama, blueprint sedia ada ini akan menjadi panduan kepada Kerajaan Negeri untuk menghasilkan satu (1) pelan tindakan pembangunan yang komprehensif sebelum pembinaan Pusat Kebudayaan Melayu Cina dan India ini dapat dimulakan. Memandangkan kos pembangunan yang begitu besar, Kerajaan Negeri harus meneliti perkara-perkara teknikal supaya perancangan dan pemajuan ini dapat berjalan lancar dengan mengambil kira kepentingan- kepentingan stakeholders yang berkenaan.