Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

121) PUSAT REKREASI AWAM

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah pihak Kerajaan Selangor bersedia untuk membina sebuah pusat rekreasi awam buat masyarakat di DUN Taman Templer untuk menjalankan aktiviti riadah?

    Kerajaan sentiasa bersedia untuk membangunkan pusat rekreasi awam untuk penduduk setempat khususnya untuk masyarakat di DUN Taman Templer. Buat masa kini, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah membangunkan serta menyenggara pusat rekreasi awam berkategori Taman Komuniti iaitu:

    i. Laman Bandar Baru Selayang (Laman BBS)
    ii. Taman Rimba Templer.

    Selain dari taman komuniti di atas, MPS juga telah menyediakan kawasan-kawasan permainan di setiap kawasan lapang di taman-taman perumahan yang ada.

    Bagi perancangan jangka panjang, pihak MPS telah merencana dan menyediakan pelan cadangan pembangunan jalinan hijau bagi tujuan riadah dan rekreasi dengan menghubungkan ketiga-tiga kawasan rekreasi hutan lipur yang terdiri daripada Taman Eko Rimba Komanwel (di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor), Taman Eko Rimba Kanching (di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor) dan Taman Rimba Templer di dalam Perancangan Pelan Induk Landskap MPS (2018-2028). Permohonan peruntukan bagi tujuan tersebut telah dihantar ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) yang akan bermula tahun hadapan.

Lampiran

Tiada Lampiran.