Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

83) RANCANGAN PELAN STRATEGIK TRAFIK

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Perincian pelan strategik trafik alternatif bagi sekitar Bandaraya Petaling Jaya, Damansara dan Puchong setelah kononya projek membina Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) dibatalkan

    Sebagai langkah alternatif, Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor untuk menjalankan kajian dan menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor. Kerajaan Negeri memutuskan supaya Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Negeri Selangor dibangunkan dalam tempoh enam (6) bulan bermula dari bulan April 2015. Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam yang dijalankan akan lebih menyeluruh serta merangkumi aspek sistem pengangkutan awam sedia ada, sistem jaringan jalanraya dan lalu lintas yang akan membantu memperbaiki sistem pengurusan trafik di Negeri Selangor. Melalui pembangunan pelan induk itu juga, Kerajaan Negeri Selangor bolehlah membuat pertimbangan terperinci antara keperluan pembangunan lebuhraya, jalanraya ataupun pembangunan pengangkutan awam.

    Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan supaya pembangunan infrastruktur pengangkutan awam diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan selaras rancangan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama berbanding kenderaan persendirian di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor mengesyorkan nisbah minimum pengangkutan awam kepada pengangkutan kenderaan persendirian ialah 60:40.

    Keutamaan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan adalah melaksanakan rancangan pembangunan Bus Rapid Transit (BRT), perkhidmatan rel (komuter, LRT, MRT) dan perkhidmatan bas (feeder bus, bas henti-henti).

    Kerajaan Negeri juga menerima baik akan usaha untuk membangunkan perbandaran di Negeri Selangor dan Kuala Lumpur menggunakan konsep Transit Oriented Development (TOD) bagi membolehkan pembangunan perumahan dan komersial di Lembah Klang diintegrasi dengan penyediaan infrastruktur pengangkutan awam.

    Kerajaan Negeri Selangor telah menunjukkan komitmen bagi membantu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam melalui penyediaan perkhidmatan feeder bus kepada komuniti di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mulai Jun 2014. Perkhidmatan ini akan diperluaskan lagi di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.