Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

78) RANCANGAN PEMBANGUNAN BELIA

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program pembangunan belia yang berkesan yang sudah berjaya dilakukan sejak 2015?

    JAWAPAN:

    1. a) Kerajaan Negeri amat menitik beratkan aspek pembangunan belia di Negeri Selangor memandangkan lebih lima puluh peratus (50%) populasi rakyat Selangor adalah dalam kalangan generasi muda. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Cawangan Pengurusan Data, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IYRES), populasi belia di Selangor pada tahun 2019 ialah 4,512,300.00 orang.

     

    Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Dasar Belia Negeri Selangor pada tahun 2014 sebagai panduan kepada Pembangunan Generasi Muda di Selangor. Melalui Dasar Belia Selangor, 10 teras telah diwujudkan iaitu Keusahawanan dan Pekerjaan, Kepimpinan dan Organisasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kemasyarakatan, Jaringan dan Kesukarelawanan, Kebudayaan dan Kesenian, Kesejahteraan dan Kesihatan, Sukan dan Kecergasan, Agama dan Spiritualiti dan Pengantarabangsaan. Justeru, program-program Pembangunan Generasi Muda telah dilaksanakan berdasarkan teras-teras tersebut.

     

    Justeru itu, hala tuju Kerajaan Negeri dalam membangunkan belia di Selangor dizahirkan dengan penubuhan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sejak tahun 2009. PeBT bertindak sebagai ejen dan jentera pelaksana agenda Kerajaan Negeri dalam merealisasikan dasar-dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

     

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda telah melaksanakan 1,524 Program Pembangunan Generasi Muda yang berkesan dan berjaya sejak dari tahun 2015 sehingga sekarang seperti berikut :-

     

     

    Bil. Tahun Bilangan Program Jumlah Peruntukan (RM)
    1. 2015 296 2,783,897.00
    2. 2016 298 7,207,120.00
    3. 2017 300 7,603,542.00
    4. 2018 314 16,637,058.40
    5. 2019

    sehingga September

    316 4,773,306.15
    Jumlah 1,524 39,004,923.55

    (Sumber : Seksyen Sektoral, UPEN ; September 2019)

     

    Untuk makluman, kejayaan pelaksanaan program-program ini antara lainnya adalah disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh Penggerak Belia Tempatan (PeBT) seperti berikut :-

     

    1. PeBT merupakan perancang program yang berkaitan belia. Sesuatu program yang dilaksanakan tanpa perancangan yang baik dan bersistem tidak akan dapat memberikan impak yang maksimum kepada Kerajaan Negeri dan komuniti belia;
    2. PeBT juga merupakan penyampai maklumat ataupun selaku orang tengah di antara pihak Kerajaan Negeri Selangor dan komuniti belia. PeBT mempunyai tanggungjawab yang penting dalam memastikan maklumat berkaitan kerajaan negeri sampai ke pengetahuan komuniti belia;
    3. Pembina jaringan antara komuniti belia dan agensi-agensi berkaitan menunjukkan PeBT berperanan dalam beberapa keadaan seperti mendapatkan peluang pendidikan dan juga pekerjaan; dan
    4. PeBT berperanan sebagai pembimbing dan pemupuk minat yang ada pada belia di kawasan masing-masing. Ini menunjukkan peranan penting yang dimainkan oleh PeBT selaku pembimbing dan pemupuk minat belia.

Lampiran

Tiada Lampiran.