Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

114) RANCANGAN PEMBANGUNAN SELANGOR

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Penafian pembangunan Selangor dalam RMK10 mencabul hak rakyat Selangor terhadap pembangunan. Apakah usaha dan tindakan kerajaan Selangor dalam menangani sikap tidak profesional kerajaan pusat?

    Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) merupakan program pembangunan
    serta pelan transformasi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara
    berpendapatan tinggi dan berdaya saing seiring menuju mencapai Wawasan 2020.
    Walaupun Kerajaan Persekutuan telah menggariskan idea dan pendekatan baru
    melalui RMKe-10, Kerajaan Negeri Selangor tidak hanya bersikap ‘tunggu dan lihat’
    sahaja. Dalam usaha meraih pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih optimum,
    Kerajaan Negeri telah terlebih dahulu merencanakan pelan pembangunan jangka
    panjang iaitu “Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Selangor 2025”. Pelan
    perancangan pembangunan ini adalah lebih komprehensif dan holistik dengan
    gabungan elemen-elemen ekonomi, sosial, fizikal dan spiritual. Prinsip asas yang
    sentiasa menjadi teras perancangan Kerajaan Negeri dengan penekanan terhadap
    pembangunan yang seimbang, penetapan nilai kerohanian di dalam sebarang
    pembangunan dan memastikan penjagaan dan pengekalan alam sekitar ini menjadi
    dasar kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam memastikan hak rakyat negeri ini untuk
    mengecapi pembangunan tidak dinafikan.
    Seiring dengan pelan perancangan jangka panjang ini, Kerajaan Negeri tidak lama
    lagi akan meluluskan dan mengumumkan anggaran peruntukan kewangan yang
    telah disusun atur dengan teliti mengikut kepentingan dan fungsi bagi setiap jabatan
    dan agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor melalui Rancangan Malaysia
    Kesepuluh Negeri Selangor. Setiap peruntukan yang diluluskan ini merupakan satu
    usaha murni Kerajaan Negeri menyusun pembangunan Negeri agar ianya seimbang
    dan dapat diagihkan secara sama rata kepada setiap golongan masyarakat di negeri
    ini. Penyusunan peruntukan kewangan negeri ini jelas membuktikan Kerajaan Negeri
    mampu melaksanakan pembangunan negeri dengan lebih telus dan terancang.

Lampiran

Tiada Lampiran.