Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

115) RANCANGAN STRUKTUR NEGERI SELANGOR 2030

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa pindaan telah diluluskan kepada Rancangan Struktur Negeri Selangor 2030?

    Terlebih dahulu saya ingin membuat pembetulan terhadap tajuk soalan kepada Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (RNSN 2035). RSNS 2035 telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor pada 2 Februari 2017 dengan No Warta : 301 Jilid 70 No. 3 Penyediaannya adalah mengikut peruntukan yang terkandung dalam Seksyen 7-9, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172].

    Rancangan Struktur merupakan satu dokumen perancangan statutori yang memandu dan mengawal pembangunan fizikal bagi sesebuah negeri. Subseksyen 8(3) Akta 172 menyatakan definisi rancangan struktur adalah suatu pernyataan bertulis yang mengemukakan dasar-dasar dan cadangan-cadangan am mengenai pemajuan dan penggunaan tanah keseluruhan negeri.

    Mengikut peruntukan Seksyen 11 Akta 172, rancangan struktur perlu dikaji semula setiap lima (5) tahun dan dikemukakan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk kelulusan dan persetujuan. RNSN 2035 menggariskan tiga (3) teras iaitu Wilayah Bandar Berkembang Maju, Wilayah Bandar Mampan dna Wilayah Bandar Makmur yang mempunyai 18 hala tuju dan 70 dasar baig mencapai matlamat memperkasakan pembangunan Negeri Selangor sebagai sebuah Wilayah Bandar yang berkembang maju, mampan dan makmur.

    Sebagai proses kepada kajian semula RSNS 2035, pada masa ini satu (1) laporan status pencapaian dan pelaksanaan setiap dasar yang terkandung dalam RSNS 2035 sedang disediakan oleh PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor). Laporan ini iaitu Laporan Perancangan Fizikal Negeri Selangor (LPFNS) perlu disediakan selepas dua (2) tahun RSNS 2035 diwartakan. Setelah LPFNS ini siap, ianya akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk pemakluman dan dijadikan asas pertimbangan kepada kajian semula RSNS 2035 ini.

    Sebarang pengubahan rancangan struktur (RS) hendaklah mengambilkira arahan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dan Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) yang melibatkan perubahan dasar-dasar semasa dan dasar-dasar baharu yang berkaitan.

    Sehingga hari ini, belum ada sebarang perubahan terhadap Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (RSNS 2035). Walau bagaimanapun, PLANMalaysia@Selangor telah memohon peruntukan sebanyak RM2.5 Juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk melaksanakan kajian semula RSNS 2035 ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.