Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

136) REBET CUKAI TAKSIRAN

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah memberi rebet cukai taksiran kepada pemilik-pemilik rumah di Bukit Beruntung di mana rumah-rumah mereka tidak dapat didiami dan disewa untuk jangka masa yang lama, adakah kerajaan juga akan melaksanakan dasar ini di PBT-PBT yang lain?

    Pemberian remisi (rebet) atau pulangan balik cukai taksiran yang telah dilaksanakan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor di Bukit Beruntung adalah berdasarkan Seksyen 162 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    Seksyen 162 menyatakan sekiranya sesuatu bangunan tidak diduduki tidak kurang dari satu bulan dalam tempoh setengah tahun dan bayaran cukai taksiran telah dibayar oleh pemilik kepada Pihak Berkuasa Tempatan, sebahagian daripada cukai taksiran yang telah dibayar tersebut boleh di pohon untuk pemulangan balik. Walau bagaimanapun, tuntutan pemulangan balik cukai taksiran tersebut hendaklah dilakukan oleh pemilik bangunan dengan mengemukakan tuntutan secara bertulis kepada Pihak Berkuasa Tempatan dengan membuktikan bahawa bangunan itu dalam keadaan baik dan layak diduduki serta segala usaha yang munasabah untuk mendapatkan penyewa (tenan)  telah dibuat.

    Kaedah pemberian remisi ini juga telah dilaksanakan di semua PBT Negeri Selangor berpandukan seksyen 162, Akta Kerajaan Tempatan. Garis panduan khusus juga telah disediakan oleh setiap PBT bagi membolehkan mana-mana pemilik bangunan yang  ingin memohon remisi ke atas bangunan milik mereka yang tidak diduduki.

Lampiran

Tiada Lampiran.