Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

185) REZAB NEGERI

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Di manakah rezab tunai negeri dilabur dan disimpan

    Rizab Negeri terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga- tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan pada 30 Jun 2016 dan 15 Julai 2016 adalah, masing- masing, berjumlah RM3,883.88 juta dan RM3,950.64 juta. Kumpulan Wang Disatukan yang berjumlah RM3,950.64 juta pada 15 Julai 2016 adalah terdiri dari Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM2,598.08 juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM1,352.56 juta. Kedudukan rizab negeri bagi tahun 2010 hingga 2015 adalah seperti berikut:-

     

    Tahun

    Jumlah Rizab
    RM Juta
    2010 1,586.88
    2011 1,944.00
    2012 2,619.44
    2013 2,907.10
    2014 3,200.91
    2015 3,258.61

    Bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2016, Rizab Negeri pada 15 Julai 2016 telah meningkat sebanyak 21.24% iaitu daripada RM3,258.61 juta pada 31 Disember 2015 kepada RM3,950.64 juta pada 15 Julai 2016. Peningkatan ini disumbangkan oleh lebihan Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM1,002.50 juta. Akaun Hasil Disatukan mengakaunkan semua urus niaga terimaan hasil dan perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri. Hasil mengikut penjenisannya adalah seperti berikut:

    • Hasil Cukai – contohnya cukai tanah dengan kutipan sebanyak RM427.03 juta iaitu 90.63% dari Anggaran Hasil 2016;
    • Hasil Bukan Cukai – contohnya Premium Tanah dengan kutipan sebanyak RM974.87 juta iaitu 90.14% dari Anggaran Hasil 2016; dan
    • Terimaan Bukan Hasil – contohnya Pemberian

    Manakala perbelanjaan mengurus sehingga 15 Julai 2016 adalah berjumlah RM756.45 juta (iaitu 52.53% dari Belanjawan 2016). Kerajaan Negeri tidak dikecualikan daripada dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). GST yang dikenakan adalah bagi Perolehan Kerja, Perkhidmatan Perunding dan Perkhidmatan Bukan Perunding. Impak pelaksanaan GST terhadap prestasi kewangan Negeri Selangor adalah di mana jumlah GST yang telah dibayar oleh Kerajaan Negeri bagi tempoh 1 April hingga 31 Disember 2015 berjumlah RM15,737,962.02 dan bagi tempoh 1 Januari 2016 hingga 30 Jun 2016 berjumlah RM10,195,933.11.

    Selain daripada Akaun Hasil Disatukan, komponen Kumpulan Wang Disatukan adalah termasuk Akaun Amanah Disatukan. Akaun Amanah Disatukan mengakaun semua terimaan dan bayaran wang amanah mengikut kehendak undang-undang, akta-akta amanah, suratcara amanah, arahan amanah dan perjanjian. Akaun Amanah Disatukan terdiri daripada Kumpulan Wang Amanah Kerajaan, Kumpulan Wang Amanah Awam dan Akaun Deposit.

    Rizab tunai negeri dilabur dan disimpan dalam instrumen kewangan yang memberi pulangan tetap (fixed income) di bank-bank perdagangan dan syarikat kewangan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Peratusan pulangan hasil simpanan tunai tersebut setiap bulan adalah berdasarkan kadar faedah simpanan tetap dan pasaran wang jangka pendek yang ditawarkan oleh bank-bank perdagangan dan syarikat kewangan mengikut tempoh dan jenis (konvensional atau islamik) pelaburan yang dibuat iaitu di antara 3.3% hingga 4.5% setahun bagi tempoh sehingga Julai 2016. Jumlah keuntungan/faedah yang dijana daripada akaun semasa, simpanan tetap dan deposit pasaran wang jangka pendek (STMMD) mulai 01 Januari 2016 sehingga 15 Julai 2016 adalah sebanyak RM49.98 juta. Jumlah keuntungan/faedah yang dijana daripada akaun semasa, simpanan tetap dan STMMD pada tahun 2015 adalah sebanyak RM109.23 juta.

    Peningkatan jumlah rizab/Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri adalah disumbangkan oleh faktor-faktor berikut:-

    1. peningkatan hasil premium tanah disebabkan oleh pengiraan premium tanah berdasarkan nilai pasaran semasa;
    2. peningkatan cukai hasil hutan disebabkan kenaikan Kadar Royalti Kuari berkuatkuasa 1 November 2014;
    3. peningkatan hasil Caruman Parit disebabkan kenaikan kadar baru Caruman Parit berkuatkuasa 1 Julai 2015;
    4. pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri yang telah berjaya membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien di samping memberi pulangan faedah yang optimum;

    pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua Pejabat Daerah/Tanah (PDT), Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan Bahagian Teknologi Maklumat, SUK (BTM, SUK) sebagai satu pasukan (Ops. Kutip) seperti berikut:-

    1. menjejaki pemilik tanah yang berkenaan, menasihati dan memberi amaran melalui surat peringatan kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan tunggakan cukai tanah;
    2. menerima bayaran cukai tanah secara ansuran;
    3. memberikan pengurangan fi tunggakan (denda lewat); dan
    4. tindakan perampasan jika pemilik tanah gagal menjelaskan cukai tanah tertunggak.

    Kerajaan Negeri terutamanya melalui PDT sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui kaedah berikut:-

    1. mengenal pasti serta mengasingkan semua hak milik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
    2. membuka kaunter kutipan di luar pejabat bagi PDT di kawasan pedalaman;
    3. membuka kaunter pada waktu rehat; dan
    4. menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara atas talian (online) dan pusat pembayaran di kaunter

    Kerajaan Negeri juga telah menambah saluran pembayaran cukai tanah melalui kaunter bergerak.

    • Kerajaan Negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah

    dengan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Hasil dan Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di Peringkat Negeri yang berfungsi untuk memantau pelaksanaan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik yang melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hak milik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua PDT;

    • Kerajaan Negeri turut mewujudkan pasukan Taskforce Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di empat (4) PDT iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat untuk menangani secara khusus masalah tunggakan cukai tanah daripada hak milik bermasalah. Kerajaan Negeri mengambil maklum masalah bangunan strata yang sukar diselesaikan untuk pengeluaran hak milik strata turut menyumbang kepada tunggakan hasil cukai tanah;

     

    • Perbendaharaan Negeri Selangor telah memperkemaskan dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemat dan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil ke arah pengurusan perbelanjaan wang awam yang sempurna telah mengeluarkan:-
    • Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 7 Tahun 2013 : Garis Panduan Perbelanjaan Berhemat yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2014 bertujuan untuk memaklumkan garis panduan perbelanjaan berhemat bagi mengawal perbelanjaan Kerajaan Negeri;
    • Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 4 Tahun 2014 : Pemakaian Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 2 Tahun 2014 – Garis Panduan Perbelanjaan Secara Berhemat Bagi Mengurangkan Perbelanjaan Awam yang berkuat kuasa pada 1 April 2014 bertujuan memaklumkan berkenaan langkah penjimatan dalam perbelanjaan sektor awam;
    • Surat Arahan Perbendaharaan – Langkah Penjimatan Dalam Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa pada 1 April 2014 bagi memaklumkan mengenai perubahan had nilai dan syarat-syarat pembelian terus bagi bekalan/perkhidmatan dan had nilai kerja requisition selaras dengan langkah penjimatan Kerajaan; dan
    • Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bil 7 Tahun 2014 – Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem Cut-Off yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2015 bagi memaklumkan mengenai pindaan dasar perolehan Kerajaan Negeri Selangor daripada sistem harga terendah setelah melepasi penilaian teknikal kepada Sistem Cut-Off iaitu satu tanda aras harga sebut harga dan tender yang diperoleh melalui formula statistik bagi mendapatkan harga yang munasabah; dan

     

    • Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2015 yang memberi penjelasan terhadap isu berbangkit berkenaan pelaksanaan Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem Cut-Off.

     

    • pelaksanaan dasar pemilikan tanah Kerajaan untuk tujuan bangunan kediaman persendirian di mana bayaran premium nominal pada kadar RM1,000.00 bagi setiap hak milik dan bayaran khas tanah pada kadar yang ditetapkan apabila tanah tersebut hendak dipindah milik melalui proses jual beli. Hak milik bagi tanah ini akan dikenakan sekatan kepentingan Rayuan pengurangan premium tidak dibenarkan;

     

    1. pelaksanaan dasar penolakan semua permohonan rayuan pengurangan premium / premium tambahan (sama ada melalui Borang 5A atau 7G) kecuali kes pemberimilikan tanah kepada individu bagi tujuan bangunan kediaman yang telah diduduki;
    • Pejabat Pemungut Hasil Negeri Selangor juga, dari masa ke masa, akan membuat penilaian ke atas kadar dan pengurusan hasil sedia ada. Sebagai contoh, PTGS kini sedang mengkaji kadar royalti bagi bahan batuan pasir dan menambahbaik sistem pengurusan pengeluaran bahan batuan bagi mengelakkan ketirisan; dan

     

    • Perbendaharaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Mengkaji Hasil Negeri yang dipengerusikan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri bersama- sama Pejabat Pemungut Hasil Negeri dari masa ke masa mengkaji dan memperhalusi elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan

    Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius akan perkembangan ekonomi global dan domestik di Malaysia. Kejatuhan harga komoditi tidak boleh lagi dijadikan alasan penyusutan nilai ringgit dan kegawatan ekonomi. Negara hari ini berdepan dengan krisis keyakinan yang memberi kesan negatif kepada ekonomi negara. Secara umumnya, kejatuhan mata wang ringgit dan kelembapan ekonomi negara menjejaskan ekonomi negeri Selangor dari sudut kuasa beli pengguna dan harga barang yang mempunyai komponen import. Walau bagaimanapun, impak kejatuhan dan kelembapan tersebut adalah minima ke atas prestasi kewangan dan dana yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri disebabkan tiadanya risiko pelaburan luar negara dan instrumen-instrumen pelaburan yang berubah mengikut pasaran yang mungkin akan memberi kesan negatif secara langsung ke atas kewangan Kerajaan Negeri.

    Adalah menjadi matlamat Kerajaan Negeri Selangor untuk menguruskan rizab Kerajaan Negeri dengan cekap dan teratur agar segala dasar, program, projek dan aktiviti yang dirancang bagi pembangunan Negeri Selangor dan kebajikan rakyat Negeri Selangor dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dalam hal pengurusan rizab, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa ia mestilah dibelanjakan kepada program atau projek yang akan membawa manfaat jangka panjang kepada pembangunan sosioekonomi negeri. Jumlah peruntukan yang akan disediakan pada setiap tahun adalah berdasarkan keutamaan dan keperluan yang akan ditentukan serta keupayaan kewangan semasa Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri Selangor pada Dewan Negeri Selangor Sidang November / Disember 2015 telah membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2016 bertemakan “Membangun Smart Selangor Yang Peduli” yang memberi keutamaan untuk menjana pembangunan dinamik dan organik melalui lima strategi iaitu :

    1. Menerajui Gagasan                       Smart
    2. Menjana Sumber             Pendapatan            Secara
    3. Mempertingkat Pembangunan     Berkualiti      dan      Inisiatif
    4. Memperkukuh Kualiti             Pendidikan             dan
    5. Membangun Kapasiti Wanita, Generasi Y dan Ekonomi

     

    Kumpulan Wang Disatukan / Rizab Negeri dikendalikan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta Tatacara Kewangan 1957, Akta-akta Amanah, Arahan Amanah dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa. Perbelanjaan yang dikenakan ke atas Kumpulan Wang Disatukan / Rizab Negeri adalah mengikut undang-undang atau kelulusan Dewan Negeri Selangor selaras dengan Perkara 104 Perlembagaan Persekutuan. Rizab kewangan negeri terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Oleh yang demikian, tidak kesemua rizab Kerajaan Negeri boleh dibelanjakan memandangkan ia adalah juga sebahagian daripada Akaun Amanah Disatukan yang akan digunakan mengikut kehendak undang-undang, akta-akta amanah dan arahan amanah.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.