Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

173) REZAB SIMPANAN

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah bentuk atau mekanisme yang diperkenalkan sehingga penambahan begitu mendadak?

    Kumpulan Wang Disatukan terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2012 adalah meningkat sebanyak 34.74% iaitu daripada RM1,944.00 juta pada tahun 2011 kepada RM2,619.44 juta pada tahun 2012.  Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh lebihan terimaan hasil berbanding perbelanjaan pada tahun 2012 berjumlah RM268.10 juta dan peningkatan terimaan amanah sebanyak RM386.45 juta. Pengukuhan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor adalah disumbangkan di antaranya oleh usaha-usaha yang berterusan bagi meningkatkan kutipan hasil Kerajaan Negeri Selangor di samping pengurusan perbelanjaan wang awam yang menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban dalam semua urusan bagi memastikan nilai serta kualiti bagi perbelanjaan yang dikeluarkan dalam semua urusan adalah yang terbaik (value for money).

    Kerajaan Negeri bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Negeri Selangor melaksanakan perkara-perkara berikut:-

    • mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri. Pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri telah berjaya membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisen di samping memberi pulangan faedah yang optimum. Bagi tahun 2012, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil daripada faedah ke atas pelaburan sebanyak RM52 juta berbanding RM14 juta pada tahun 2007;
    • Pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Bahagian Teknologi Maklumat, SUK sebagai satu pasukan (Ops. Kutip). Di antara pendekatan yang dilaksanakan melalui Ops. Kutip adalah seperti berikut:-
    • Polisi ‘Knock Door’ iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat peringatan terus kepada penunggak-penunggak tegar;
    • mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak tegar bagi menyelesaikan cukai tanah tertunggak;
    • memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
    • sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah tertunggak, Pejabat Daerah dan Tanah tanpa teragak-agak akan terus menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan sekiranya dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya Notis 8A, Rampasan Tanah akan dilaksanakan.
    • Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Tanah dan Daerah sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah
    • iaitu:-
    • mengenalpasti serta mengasingkan semua hakmilik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
    • membuka kaunter kutipan di luar pejabat bagi Pejabat Tanah Daerah di kawasan pedalaman;
    • membuka kaunter pada waktu rehat; dan
    • menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara online dan pusat pembayaran di kaunter PBT.
    • Kerajaan Negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Y.B. Pegawai Kewangan Negeri Selangor dan di Peringkat Daerah ianya dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Jawatankuasa tersebut berfungsi untuk melaksanakan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik yang melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hakmilik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua Pejabat Daerah dan Tanah;
    • Kerajaan Negeri turut mewujudkan pasukan Taskforce Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di 4 Pejabat Daerah dan Tanah iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat untuk menangani secara khusus masalah tunggakan cukai tanah daripada hak milik bermasalah. Pada tahun 2012, tunggakan hasil Kerajaan Negeri Selangor adalah berjumlah RM352.12 juta berbanding RM425.27 juta pada tahun 2011 dengan pengurangan sebanyak RM73.15 juta; dan
    • Perbendaharaan Negeri Selangor pada 23 Jun 2012 telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2012 – Garis Panduan Perbelanjaan Berhemah bagi memperkemaskan dan membuat penambahbaikan terhadap garis panduan perbelanjaan berhemah dan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil kira ke arah pengurusan perbelanjaan wang awam yang sempurna.

Lampiran

Tiada Lampiran.