Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

23) RIZAB KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan prestasi terkini akaun bersatu dan dalam simpanan rizab Kerajaan Negeri sehingga September tahun 2019?

    Saya ingin menjawab secara bersama soalan yang dikemukakan YB Sungai Panjang (soalan 276) yang bertanyakan soalan yang sama tentang Rizab Kerajaan.

    YB Hulu Bernam bertanyakan prestasi terkini Akaun Disatukan (Consolidated Fund) atau lebih dikenali dengan nama Kumpulan Wang Disatukan.  Prestasi kewangan terkini Kumpulan Wang Disatukan pada 30 September 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 4.93 peratus kepada RM2,240.66 juta berbanding RM2,135.37 juta pada tahun 2018.  Rizab Simpanan Kerajaan Negeri merupakan Wang Awam yang terdiri daripada Wang Tunai dan Pelaburan.  Baki Rizab Simpanan Kerajaan Negeri sehingga 30 September 2019 adalah sebanyak RM23.83 juta bagi Wang Tunai dan RM2,216.83 juta bagi Pelaburan.

    Seterusnya YB Sungai Panjang (soalan 276) bertanyakan jumlah terkini Rizab Kerajaan.  Rizab Kerajaan Negeri Selangor adalah  dipegang bagi maksud Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Kedudukan Rizab Kerajaan pada 30 September 2019 adalah sebanyak RM2,240.66 juta yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM828.79 juta, Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM1,401.78 juta dan Akaun Pinjaman Disatukan sebanyak RM10.09 juta.

    YB Sungai Panjang (soalan 276)  turut bertanyakan apakah usaha Kerajaan dalam memastikan kedudukan Rizab Kerajaan dalam keadaan yang sihat.  Jawapan kepada soalan ini akan menjuruskan secara spesifik kepada Akaun Hasil Disatukan.  Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan Rizab Kerajaan melalui peningkatan di dalam prestasi kutipan hasil, mengawal perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan serta memastikan peningkatan kedudukan kewangan di dalam Akaun Hasil Disatukan.

    Di antara usaha-usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan Rizab Kerajaan di dalam keadaan baik adalah dengan   memperkemas dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemah dan langkah-langkah penjimatan di dalam menguruskan perbelanjaan wang awam. Kerajaan Negeri  sentiasa menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban serta akauntabiliti dalam semua urusan bagi memastikan nilai serta kualiti bagi perbelanjaan yang dikeluarkan dalam semua urusan adalah yang terbaik (value for money) melalui kaedah perolehan yang holistik seperti berikut:

    • Mengwujudkan sistem tender terbuka didalam semua perolehan Kerajaan Negeri.
    • Kaedah Penilaian secara “Cut Off” iaitu penentuan harga munasabah berdasarkan nilai projek.
    • Mengeluarkan pekeliling perbelanjaan berhemah

    Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha meningkatkan kedudukan kewangan dengan memastikan pengurusan rezab diurus dengan cekap dan teratur dan memastikan segala dasar, program, projek dan aktiviti yang dirancang bagi pembangunan Negeri Selangor dan kebajikan rakyat Negeri Selangor dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Antara tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prestasi kewangan dari aspek kutipan hasil adalah seperti berikut :

    • Sesi engagement yang berterusan oleh pihak Pejabat Tanah Galian Selangor dan Pejabat Daerah / Tanah dengan pihak pemohon dan syarikat sekiranya terdapat isu atau masalah dalam menjelaskan premium yang dikenakan;

     

    • Melaksanakan kutipan cukai petak bagi pembangunan berstrata selaras dengan pindaan Akta Hakmilik Strata (Pindaaan 2016) (A1518) yang telah berkuatkuasa mulai 1 Jun 2018;
    • Operasi Mengutip Cukai Tanah tertunggak ke atas penunggak tegar dan van kaunter kutipan hasil cukai tanah bergerak;
    • Program Perjumpaan Bersama Penduduk oleh Pejabat Daerah / Tanah dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor bagi urusan permohonan pindah milik / hakmilik strata dan membuka kaunter bayaran cukai tanah;
    • Penguatkuasaan oleh Unit Cukai Hiburan Perbendaharaan Negeri Selangor ke atas pengusaha Pusat Hiburan / Panggung Wayang / Taman Tema / Litar Lumba / Pertunjukan Pentas bagi memastikan duti hiburan diterima oleh Kerajaan Negeri;
    • Pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri yang membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien di samping memberi pulangan faedah yang optimum;
    • Pengenaan Caj Royalti bagi Pokok Getah, Kelapa Sawit dan Kelapa sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor;
    • Pengenaan Caj Fi Premium Kawasan, Permit Penggunaan serta caj-caj fi yang berkaitan penggunaan kawasan Hutan Simpanan Kekal dan pengeluaran hasil hutan berdasarkan Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan) 2017 yang telah dinaikkan kadar oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor;
    • Melaksanakan semakan semula kadar ke atas Kaedah-Kaedah Pusat Veterinar (Pindaan) 2007 kerana terdapat pertambahan perkhidmatan dan kadar bayaran yang dikenakan ketika ini adalah berdasarkan kadar pada 11 tahun dahulu;
    • Merangka pengenaan Fi Pemprosesan dan Wang Cagaran Permohonan Papan Iklan di dalam Rizab Jalan Negeri oleh Jabatan Kerja Raya Negeri;
    • Melaksanakan Akta 795 berkaitan Access Benefit Sharing (ABS) yang bertujuan untuk memastikan sumber hasil biodiversity yang dikomersialkan bagi tujuan penyelidikan, perubatan dan kosmetik dipantau dan dikongsikan. Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri akan memproses permohonan permit dan mengenakan bayaran bagi setiap permohonan yang diluluskan; dan
    • Merangka pelaksanaan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat (akuakultur). Apabila ia dikuatkuasakan kelak, semua aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perikanan darat (akuakultur) akan dikenakan caj-caj tertentu di mana pada ketika ini tiada sebarang ikatan untuk pengenaan sebarang caj. Selain daripada itu juga, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan lebih baik.

Lampiran

Tiada Lampiran.