Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

20) RIZAB KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan faktor yang menyumbang kepada peningkatan rizab kerajaan negeri?

    Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan adalah dipegang oleh wang tunai dan pelaburan.

    Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2014 adalah meningkat sebanyak 10.11% iaitu daripada RM2,907.10 juta pada tahun 2013 kepada RM3,200.91 juta pada tahun 2014. Peningkatan ini disumbangkan oleh lebihan terimaan amanah pada tahun 2014 berjumlah RM181.87 juta dan lebihan Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM111.94 juta. Kutipan hasil Kerajaan Negeri mencatatkan jumlah yang tertinggi pada tahun 2014 iaitu sebanyak RM2,225.08 juta. Sumber peningkatan ketara yang menjadi hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2014 adalah terimaan Hasil Bukan Cukai sebanyak RM1,437.26 juta berbanding anggaran sebanyak RM1,066.59 juta.

    Pengukuhan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor adalah disumbangkan oleh usaha-usaha yang berterusan bagi meningkatkan kutipan hasil Kerajaan Negeri Selangor di samping pengurusan perbelanjaan wang awam yang menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban dalam semua urusan bagi memastikan nilai serta kualiti bagi perbelanjaan yang dikeluarkan dalam semua urusan adalah yang terbaik (value for money).

Lampiran

Tiada Lampiran.