Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

176) RIZAB TANAH MELAYU

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah proaktif Kerajaan Negeri untuk mengganti semula tanah rizab melayu yang telah ditukar status?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha secara berterusan untuk mengekalkan keluasan Rizab Melayu sedia ada. Keluasan sedia ada adalah masih dalam keadaan terkawal dan dipantau rapi.

    Pemantauan ini dibuat melalui pemakaian Pekeliling PTGS Bilangan 7/2001 mengenai Dasar dan Garis Panduan Pembatalan dan Penggantian Tanah Rizab Melayu dan Pekeliling PTGS Bilangan 3/2015 mengenai Garis Panduan Urusan Pembatalan dan Penggantian Tanah Rizab Melayu (TRM) Semasa Pengambilan Tanah Bagi Tujuan Awam Atau Kemudahan Awam Bagi Kegunaan Kerajaan Negeri Dan Kerajaan Persekutuan Di Negeri Selangor Darul Ehsan.

     

    Usaha ini telah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia melalui penerimaan Sijil Penghargaan Amalan Terbaik Pengumpulan Data Tanah Rizab Melayu yang telah disampaikan oleh Y.A.B Dato’Sri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri semasa Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang diadakan pada 3 Disember 2018.

    Tanah-tanah yang dimiliki oleh orang Melayu yang tidak terletak dalam Kawasan tanah Rizab Melayu boleh mendapat insentif tanah Rizab Melayu dengan syarat mereka perlu memohon menukar status tanah milik mereka kepada tanah Rizab Melayu pegangan Melayu. Proses ini perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri untuk tanah milik mereka diisytiharkan sebagai tanah Rizab Melayu selaras dengan peruntukan Seksyen 3 Enakmen Rizab Melayu Bab 142 (ERM 1933).

    Berdasarkan Pekeliling PTGS Bil 3/1994 mengenai Kelulusan Dasar, Tatacara Dan Pemberian Insentif Bagi Membangunkan Tanah Rizab Melayu Di Negeri Selangor. Antara insentif yang ditawarkan adalah pengurangan kadar premium, caruman parit dan caruman kubur sebanyak 50% dan premium tambahan dikenakan sebanyak 12.5% daripada kadar asal ke atas kelulusan tanah.

Lampiran

Tiada Lampiran.