Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

90) RUMAH DAN KEDAI KOS RENDAH

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan bahawa rumah awam mampu milik dan premis perniagaan mampu milik yang dibina untuk penempatan semula peneroka bandar akan diagihkan kepada rakyat yang benar-benar layak untuk mendapat unit-unit tersebut.

    Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pengagihan rumah dan kedai kos rendah yang
    dibina untuk penempatan semula peneroka bandar hanya diagihkan kepada mereka
    yang benar-benar layak sahaja untuk mendapatkan unit-unit tersebut. Pengagihan
    rumah kos rendah kepada peneroka bandar akan dibuat berdasarkan senarai nama
    yang dibanci oleh PBT/Pejabat Tanah Daerah yang mana berkaitan. Bagi memastikan
    tiada tambahan nama oleh pihak luar, hanya nama peneroka bandar yang dibanci oleh
    PBT berkaitan sahaja yang akan diguna pakai untuk tujuan tawaran rumah kos rendah.
    Maklumat tawaran rumah kepada peneroka bandar juga akan dimasukkan ke dalam
    Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Kos Rendah (SPPR) yang berpusat di
    Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk memastikan peneroka
    bandar tidak akan mendapat tawaran rumah berserta kemudahan yang disediakan oleh
    Kerajaan Negeri di kawasan PBT lain. Selain itu, untuk mengelakkan sebarang
    bantahan daripada orang awam, semua senarai nama peneroka bandar yang akan
    ditawarkan rumah akan dipamerkan sama ada di dewan orang ramai dan rumah-rumah
    ibadat dalam sesebuah kawasan penempatan berkenaan supaya maklum balas
    daripada penduduk asal diperolehi dan nama yang disenaraikan adalah menepati
    kedudukan mereka sebagai peneroka bandar di kawasan tersebut.
    Pengagihan kedai kos rendah juga akan dilakukan secara telus di mana peneroka
    bandar yang berminat memohon unit kedai kos rendah hendaklah mengemukakan
    permohonan kepada Kerajaan Negeri melalui LPHS dan ia akan dipertimbangkan
    berdasarkan kelayakan pemohon tersebut selain merupakan peneroka bandar asal yang
    telah dibanci oleh PBT. Satu jawatankuasa pemilihan senarai nama pemohon unit kedai
    kos rendah juga akan di tubuhkan bagi membuat penilaian ke atas semua permohonan
    yang dibuat di mana jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh LPHS manakala ahli
    lain terdiri daripada wakil PBT , Pejabat Tanah / Daerah, Badan Pencegah Rasuah
    (BPR) dan ADUN kawasan. Tawaran unit kedai hanya akan dikeluarkan setelah namanama pemohon yang layak diperakukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.