Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

160) RUMAH FLAT

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Abd Rahman Bin Palil

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan negeri menyediakan beberapa fasa penambahbaikan bagi memastikan kesejahteraan hidup penghuni rumah flat atau pangsapuri kos rendah. Apakah status perkembangan fasa penambahbaikan dan penyelesaian masalah di rumah flat terkini ?

    Bagi tahun 2010, Kerajaan Negeri telah merancang dan melaksanakan pelbagai
    program sebagai usaha penambahbaikan dan jalan penyelesaian masalah di rumah
    flat atau pangsapuri seperti berikut:
    i- Geran Baik Pulih Lif Pangsapuri Kos Rendah
    Memandangkan lif adalah komponen dan kemudahan asas yang penting dan
    perbelanjaan penyenggaraan lif adalah sangat tinggi untuk dibiayai oleh
    pembeli-pembeli yang mempunyai pendapatan yang rendah, maka Kerajaan
    Negeri telah membelanjakan sejumlah RM1.6 Juta untuk membaik pulih 41 lif
    melibatkan 3 kawasan pemajuan pangsapuri kos rendah seperti berikut:
    BIL. KAWASAN PANGSAPURI BILANGAN
    LIF
    KOS MEMBAIK
    PULIH
    1. Desa Mentari Petaling Jaya 27 RM 557,300.00
    2. Taman Permai Indah, Klang 8 RM 600,000.00
    3. Taman Ampang Mewah, Ampang 6 RM 480,000.00
    JUMLAH 41 RM1,637,300.00
    Semua kerja-kerja baikpulih lif ini sedang dalam peringkat pelaksanaan dan
    dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya bulan Julai 2010.

    ii- Program Kempen “Pangsapuri Kita Bersih Ceria Dan Harmoni”
    Menyedari sikap keprihatinan dan tahap kesedaran pembeli perumahan
    bertingkat mengenai tanggungjawab mereka masih rendah, Kerajaan Negeri
    telah meneruskan Program Kempen “Pangsapuri Kita…Bersih, Ceria Dan
    Harmoni” di kawasan perumahan bertingkat khususnya perumahan kos
    rendah yang turut membawa mesej penghargaan kepada pembeli-pembeli
    yang telah menjelaskan bayaran caj penyenggaraan mereka. Matlamat dan
    objektif kempen ini untuk meningkatkan kesedaran dan memberi pendidikan
    kepada komuniti perumahan bertingkat terutama perumahan bertingkat kos
    rendah. Ia bertujuan supaya setiap pembeli mempunyai inisiatif sendiri dan
    bertanggungjawab untuk menjaga kawasan masing-masing. Sehingga kini,
    Kerajaan Negeri telah mengadakan dua siri program kempen seperti berikut;
     Pangsapuri Seri Kembangan, Bukit Beruntung
    24 April 2010
     Pangsapuri Sri Perantau, Pelabuhan Klang
    27 Jun 2010
    iii- Pewujudan Pusat Sehenti Ilmu Pengetahuan
    Hasil cetusan idea dari program Majlis Dialog Bajet Negeri Selangor pada
    Disember 2009, Kerajaan Negeri telah menetapkan satu dimensi dan misi
    baru supaya kawasan perumahan bertingkat khususnya pangsapuri kos
    rendah mempunyai imej sebagai kediaman yang selesa dan harmoni.
    Justeru itu, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Pusat Sehenti Ilmu
    Pengetahuan di beberapa kawasan pangsapuri agar dapat menjana dan
    melahirkan rakyat negeri Selangor yang lebih maju, moden dan berdaya
    saing dari aspek material dan spiritual. Kerajaan negeri telahpun
    membelanjakan RM45,000.00 untuk mewujudkan Pusat Sehenti Ilmu
    Pengetahuan tersebut di dua kawasan pemajuan pangsapuri bertingkat.

    iv- Garis Panduan Akta 663 Dan Pindaan Jadual Pertama Akta 663
    Selain itu, berikutan Kaedah Akta Bangunan Dan Harta Bersama
    (Penyenggaraan Dan pengurusan) 2007 [Akta 663], masih belum wujud dan
    bagi mengatasi isu kekaburan Akta tersebut, Kerajaan Negeri telah
    mengambil satu inisiatif untuk menyediakan garis panduan yang seragam
    supaya penubuhan Badan Pengurusan Bersama di negeri Selangor dapat
    dilaksanakan dengan lancar di samping memastikan hak-hak pembeli terus
    dilindungi. Garis-garis panduan tersebut adalah seperti berikut:
     Garis Panduan Mesyuarat Pertama Badan Pengurusan Bersama
     Garis Panduan Pemakaian Surat Kuasa wakil
     Garis Panduan Pemakaian Proksi
    Kerajaan Negeri juga telah pun meluluskan pindaan Jadual Pertama Akta 663
    sebagai satu usaha penambahbaikan kepada peraturan ke atas
    Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) yang dilantik pembeli supaya
    melaksanakan kuasa dan tugas mereka dengan telus.
    v- Penstrukturan Semula Organisasi Pesuruhjaya Bangunan (COB)
    Memandangkan isu pembeli kawasan pemajuan strata yang semakin
    kompleks, Kerajaan Negeri telah merancang untuk memperkasakan
    organisasi Pesuruhjaya Bangunan melalui penstrukturan semula entiti
    terbabit di peringkat negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Berdasarkan
    cadangan yang dikemukakan, penstrukturan semula organisasi COB ini
    melibatkan 89 perjawatan tambahan dan implikasi sejumlah RM6.7 juta untuk
    dua tahun. Sehingga kini, satu perbincangan bersama Jawatankuasa
    Perjawatan Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor telah pun diadakan dan
    seterusnya cadangan yang dipersetujui Jawatankuasa berkenaan akan
    dikemukakan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.