Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

108) RUMAH IBADAT SELAIN ISLAM

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah polisi Kerajaan terhadap rumah ibadat selain Islam yang dibina di tempat yang tidak dibenarkan?

    1. Rumah ibadat selain Islam yang dibina di kawasan tidak dibenarkan merupakan rumah ibadat yang tiada kelulusan pelan pembangunan dan tidak berdaftar kerana tapak tersebut tidak diperuntukkan sebagai rizab bagi tujuan rumah ibadat selain Islam. Sebarang pembinaan struktur yang tidak selaras dengan guna tanah yang ditetapkan, adalah dianggap tidak selaras dengan gunatanah yang diwartakan mengikut Rancangan Tempatan. Perletakan struktur rumah ibadat yang tidak mematuhi Garis Panduan Kemudahan Keagamaan bagi rumah ibadat selain Islam juga dapat dilihat dari aspek rekabentuk struktur serta gunatanah persekitaran.

     

    Dalam pada itu, sebarang rumah ibadat selain Islam yang telah dibina sebelum tahun 2008 diberi pertimbangan untuk dikekalkan tertakluk kepada tatacara pihak berkuasa atau dipindahkan ke kawasan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

     

    Pemilik atau pihak pengurusan struktur hendaklah menyelesaikan isu tanah serta mendapatkan kelulusan struktur berkenaan sebelum rumah ibadat tersebut dapat didaftarkan. Rumah ibadat yang tidak mematuhi aspek gunatanah, tidak mendapat kelulusan struktur serta menimbul kacauganggu disyorkan untuk tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

     

    Kertas pertimbangan bagi tindakan perobohan/ penguatkuasaan juga akan diangkat untuk pertimbangan Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam sebelum diputuskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Sebarang tindakan perobohan/ penguatkuasaan akan menggunapakai Garis Panduan Tatacara Penguatkuasaan ke Atas Rumah Ibadat Selain Islam dan Tempat Penyembahan di Bina Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor yang telah berkuatkuasa mulai 1 Februari 2014.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.