Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

22) RUMAH MAMPU MILIK

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Lee Chin Cheh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah rumah mampu milik telah dibina oleh Kerajaan Negeri Selangor atau melalui agensi-agensinya dalam setiap tahun sejak 2008 sehingga 2012?

    Untuk makluman Y.B, konsep perumahan mampu milik mula diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada Tahun 2011. Keadaan ini timbul akibat daripada tindakan proaktif kerajaan negeri untuk mengkaji semula syarat- syarat pembangunan sedia ada seperti pembinaan 20 peratus rumah kos rendah, 20 peratus rumah kos sederhana rendah dan 10 peratus rumah kos sederhana yang telah diguna pakai sejak tahun 2000 lagi supaya ianya masih relevan untuk dipraktikkan berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa. Sehubungan itu, sehingga kini, hanya terdapat dua projek perumahan mampu milik sahaja yang telah siap dibina dan telah ditawarkan kepada pembeli yang layak iaitu Bukit Botak di Selayang dan Seksyen 3 di Bandar Baru Bangi.

    Untuk makluman Y.B juga, projek perumahan mampu milik Bukit Botak, Selayang mempunyai 1,422 unit dengan harga jualan RM99,000 seunit berkeluasan 850 kaki persegi hingga 2,200 kaki persegi. Bagi projek di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi pula, jumlah unit yang dibina adalah 124 unit berkeluasan di antara 700 hingga 800 kaki persegi dan dijual pada harga RM60,000 hingga RM90,000 seunit. Kedua- dua projek tersebut telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Lampiran

Tiada Lampiran.